Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

PM jamin laluan maritim Malaysia kekal bebas, neutral

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mahu Malaysia lebih terbuka dalam menjadikan perairan negara sebagai laluan perdagangan kepada semua industri maritim untuk beroperasi. 

Kata Anwar, ini perlu bagi merebut peluang perdagangan yang lebih besar sekali gus mengalu-alukan kedatangan semua industri berkaitan maritim.

"Sebagai negara perdagangan, kita perlu meningkatkan perdagangan luar negeri dan perairan Malaysia harus kekal sebagai pusat, kawasan yang paling mengalu-alukan semua industri maritim, kepada semua negara yang ingin terus berdagang dengan kita.

"Oleh yang demikian, saya memberi jaminan apabila kita berhadapan dengan cabaran geopolitik, kita akan mengekalkan laluan ini dengan bebas dan neutral untuk mampu mengawal kuasa negatif dan menumpukan pada apa yang dianggap sebagai keutamaan kita sendiri dan melindungi kepentingan negara," katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Maritim Sedunia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini. 

Hadir sama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook. 

Sementara itu, Anwar berkata dasar itu selari dengan pelancuran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Menurut Anwar, kerajaan kini memberi tumpuan kepada pembinaan ekonomi yang lebih hijau.

Sektor pengangkutan maritim, kata perdana menteri, akan mempunyai penembusan bahan api rendah karbon sebanyak 40 peratus menjelang 2050.

"Jadi dalam usaha kita untuk memanfaatkan trend global dan menggalakkan pelaburan ke dalam negara kita, adalah penting bahawa kita berinovasi sekarang.

"Jadi ini adalah cabaran kepada industri maritim Malaysia kerana kita melaksanakan tetingkap tunggal maritim Malaysia sebagai pangkalan data digital pusat dan sumber data bersama," katanya.

Anwar juga berharap Malaysia boleh mencapai status 10 pelabuhan terbaik dengan kerjasama pemain industri dalam bidang maritim.