Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

'Rujuk RUU penggabungan Mavcom-CAAM kepada PSSC'

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa Dewan Negara mengemukakan Rang Undang-undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) (Pembubaran) 2024 dan Akta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia 2017 (Akta 788) kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC).

Ini selepas rang undang-undang untuk menggabungkan Mavcom dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 26 Julai lalu.

Bercakap dalam sidang media hari ini, Wan Fayhsal berkata ia adalah usaha terakhirnya untuk mendesak agar RUU itu dirujuk kepada PSSC.

Ketua Pemuda Bersatu itu juga mengulangi kebimbangannya bahawa penggabungan itu akan mengakibatkan Mavcom kehilangan kuasanya sebagai pengawal selia ekonomi kepada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

"Bagi kami (ahli parlimen PN), ia benar tergesa-gesa, boleh timbulkan polemik dan masalah tatakelola mengenai jualan (Saham) MAHB kepada GIP dan Blackrock.

"Pembubaran Mavcom ni akan buatkan penelitian, semak imbang, urus niaga penswastaan MAHB ni tempang.

"Mavcom ialah badan semak imbang semua butiran yang libatkan penswastaan MAHB kepada GIP-Blackrock," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Senator PN, Razali Idris di luar Parlimen hari ini.

Turut hadir ialah aktivis pro-Palestin M Mythreyar, yang sebelum ini melakukan mogok lapar untuk membantah penjualan saham MAHB kepada syarikat berkaitan Blackrock.

Pada 26 Jun, blok pembangkang dalam satu akhbar yang diadakan di Parlimen selepas rang undang-undang itu diluluskan, menggesa rang undang-undang itu dirujuk kepada PSSC.

Sambil menegaskan bahawa pembangkang tidak menentang idea penggabungan itu, Ahli Parlimen Jerantut (PN), Khairil Nizam Khirudin berkata PSSC perlu menjalankan siasatan menyeluruh terlebih dahulu dan laporannya kemudian dibahaskan di Dewan Rakyat.

Secara berasingan, Dewan Rakyat pada 17 Julai lalu menggantung Wan Ahmad Fayhsal daripada menghadairi sidang parlimen selama enam bulan.

Dia dikenakan tindakan disiplin kerana memetik surat tanpa nama yang tidak disahkan yang menamakan seorang pegawai dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai "dalang" rancangan untuk menswastakan MAHB dan menggambarkan pegawai itu secara negatif.

Kontroversi mengani saham MAHB tercetus pada 15 Mei, apabila Khazanah Nasional Berhad mengumumkan bahawa Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi dan GIP - melalui GIP Aurea Pte Ltd - akan membentuk konsortium untuk memperoleh saham pengendali lapangan terbang itu.

Keputusan itu mendapat kritikan daripada pelbagai pihak selepas didapati Blackrock - sebuah syarikat yang dianggap mempunyai hubungan dengan Israel - mengambil alih GIP.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan itu dengan berkata ekonomi Malaysia akan terjejas jika hubungan dengan semua syarikat berkaitan Israel dibatalkan.