Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Saman fitnah: Jamal tetap kena bayar RM300,000 pada Teresa

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Jamal Md Yunos gagal dalam rayuan terakhirnya bagi mengetepikan perintah mahkamah yang memerintahkannya membayar RM300,000 sebagai ganti rugi fitnah kepada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan kebenaran merayu berhubung kenyataan Jamal pada 2017 yang mendakwa Teresa menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Peguam Teresa, Sankara Nair mengesahkan keputusan mahkamah tertinggi itu.

Dengan keputusan hari ini, jumlah ganti rugi itu boleh diserahkan kepada ahli parlimen DAP berkenaan.

"Kini anak guam saya telah mengarahkan saya untuk menuntut Jamal bagi membayar kos guaman," kata Sankara ketika dihubungi petang ini.

Teresa menyaman Jamal berhubung kenyataannya semasa sidang akhbar pada 8 Mac 2017.

Bulan berikutnya, ahli parlimen DAP itu memfailkan saman atas dakwaan bahawa dia telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk dirinya sendiri.

Pada 26 Julai 2022, Teresa memperoleh ganti rugi sebanyak RM300,000 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas memenangi saman ke atas Jamal.

Mahkamah Rayuan kemudian mengekalkan keputusan berkenaan.