Mahkamah Koroner tangguh keputusan inkues kematian banduan
Mahkamah Koroner hari ini menangguhkan keputusan inkues kes kematian seorang banduan Penjara Kajang, Roopan Karnagaran, 25 yang yang didakwa meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan pada 21 Jun 2021.
"Keputusan inkues ditangguhkan.
"Ini kerana mahkamah masih menyemak bukti," kata peguam keluarga Roopan, T Shashi Deva kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.
Katanya, mahkamah akan menetapkan tarikh baru dalam masa terdekat.
Roopan adalah antara dua individu yang ditangkap pada 2017 kerana didakwa terlibat dalam tiga kes pembunuhan yang berlaku pada tahun 2013 ketika dia berusia 17 tahun.
Roopan pada mulanya, dipercayai tidak dianggap sebagai suspek sehinggalah polis menemukan DNA remaja itu di tempat kejadian empat tahun kemudian.
Mahkamah Tinggi kemudiannya mendapati dia bersalah pada 2020 dan dia membuat rayuan di Mahkamah Rayuan yang dijadualkan untuk mendengar kesnya pada 29 Jun 2021.
Bagaimanapun, pada 17 Jun, tahun yang sama, keluarganya menerima panggilan bahawa Roopan telah dikejarkan ke Hospital Kajang kerana sesak nafas.
Pada 19 Jun, keluarganya diberitahu bahawa Roopan mengalami jangkitan jantung dan perlu dimasukkan ke wad selama lima hingga enam hari.
Dua hari kemudian, pada 21 Jun dia dibenarkan keluar dari hospital.
Setelah keluar dari hospital Roopan kemudiannya dilaporkan tidak sedarkan diri sekitar jam 11.30 pagi ketika berada di bilik pengasingan di penjara Kajang.
Dia kemudian dikejarkan semula ke Hospital Kajang dan dia disahkan meninggal pada jam 12 malam - kira-kira satu setengah jam sebelum ahli keluarga menelefon hospital untuk memohon melawat Roopan.
Keluarganya janya dimaklumkan mengenai kematiannya sekitar jam 2 petang.
Ketika keluarga itu pergi ke bilik mayat kemudiannya, seorang inspektor polis dilaporkan memberitahu mereka bahawa Roopan positif Covid-19, bertentangan dengan apa yang diberitahu oleh hospital sebelum ini.
Hospital Kajang kemudiannya mengesahkan bahawa Roopan positif Covid-19.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai