Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Lesen media sosial pastikan SOP diperketat, sekat jenayah dalam talian

Memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) adalah bagi mempertanggungjawabkan semua penyedia platform media sosial agar mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan komuniti.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata langkah berkenaan akan mengekang peningkatan kes jenayah siber khususnya jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan penipuan dalam talian di negara ini yang dilihat semakin membimbangkan.

Beliau berkata sebanyak 360 kes seksual melibatkan kanak kanak menerusi media sosial direkodkan pada 2022 dan meningkat kepada 525 kes pada 2023 dan 288 kes dicatatkan dari Januari hingga Jun tahun ini.

"Jumlah kerugian yang diakibatkan oleh penipuan dalam talian adalah RM453 juta pada 2022, meningkat kepada RM1.2 bilion pada tahun lepas manakala (dari) Januari hingga Jun ini, jumlah kerugian yang telah dicatatkan oleh pihak polis adalah RM637 juta.

“Kita tidak mahu nampak bahawa ramai warga Malaysia yang menjadi mangsa penipuan dalam talian. Itu satu cabaran yang sangat-sangat serius," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) Pengkalan Kota di George Town hari ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) semalam memaklumkan, semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Langkah itu akan berkuat kuasa 1 Jan 2025, susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet diperkenal bermula 1 Ogos.

Teo berkata ia telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri pada awal tahun ini, namun Kementerian Komunikasi mengambil beberapa bulan untuk menjalankan sesi libat urus dengan semua penyedia platfrom media sosial sebelum membuat pengumuman semalam.

Kandungan judi, scam

Beliau berkata langkah kerajaan itu bukan sesuatu peraturan yang diwujudkan oleh Malaysia, malah polisi yang sama juga dipraktikkan oleh beberapa negara lain termasuk Singapura dan United Kingdom.

Menolak dakwaan langkah SKMM itu akan menyekat hak kebebasan bersuara, beliau menjelaskan 50 peratus permintaan SKMM untuk menurunkan kandungan di media sosial sebelum ini adalah melibatkan perjudian dan penipuan dalam talian, dan bukan hanya berkaitan berita palsu.

Sementara itu, Teo memaklumkan pihaknya akan memastikan tujuh lagi pusat Nadi di Pulau Pinang akan siap dan beroperasi sebelum hujung tahun ini selaras dengan hasrat Kementerian Komunikasi untuk membangunkan 38 pusat NadiI baru di bawah inisiatif 1 Dewan Undangan Negeri (DUN) 1 Nadi iaitu tambahan kepada tiga yang wujud sebelum inisiatif berkenaan.

Secara keseluruhan, katanya terdapat 1,097 pusat Nadi di seluruh negara dengan 950 telah beroperasi manakala 147 dalam pelaksanaan.

- Bernama