Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

K'jaan BN pernah salur hasil cukai mudarat ke sekolah vernakular - Khaled

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berkata pentadbiran BN sebelum ini pernah menyalurkan dana yang dikutip daripada industri minuman keras dan perjudian untuk membiayai sekolah vernakular dan tokong Cina.

"Soal syarikat-syarikat minuman keras dan judi menyumbang kepada sekolah-sekolah vernakular dan sebagainya itu diamalkan Barisan Nasional dahululah.

"Sebab, kita berpendapat duit kerajaan hasil judi dan arak jangan kita guna sumbang ke masjid.

"Kita beri kepada tokong, beri kepada sekolah vernakular dan itulah amalan yang diteruskan oleh kerajaan sekarang,” katanya ketika berucap pada mesyuarat Umno bahagian Gombak hari ini.

Khaled juga menyoal pendirian PN berhubung perkara ini memandangkan gabungan itu tidak pernah mengambil tindakan terhadap amalan yang kini dikritik mereka semasa memegang kuasa.

"Kalau itu tidak betul, mengapa semasa mereka menjadi kerajaan mereka tidak hentikan amalan itu," katanya lagi.

Kenyataan Khaled ini selepas kontroversi Konsert Pengumpulan Dana Pendidikan Cina Tiger-Sinchew kerana Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Aiman ​​Athirah Sabu dilihat memegang cek olok-olok yang memaparkan logo jenama bir itu.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata ia mengekalkan garis panduan sedia ada yang melarang sekolah menerima sumbangan daripada hasil arak, dadah, perjudian dan aktiviti seumpamanya yang dianggap memudaratkan pembangunan pelajar.

Bagaimanapun, KPM menjelaskan sekolah vernakular masih boleh menerima sumbangan daripada lembaga pentadbiran, seperti yang diamalkan pada masa lalu.

Mengulas lanjut, Khaled mengakui DAP telah meraih populariti di kalangan pengundi Cina.

Umno katanya harus membantu memerangi jenis serangan sebegini terhadap kerajaan untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat.


BACA BERKAITAN:

Ada apa dengan sekolah Cina?

PANDUANKINI | Bagaimana konsert bantu sekolah Cina kumpul wang


"Jadi yang ini pun ahli Umno kena tolong bantu tidak boleh serah kepada (Pengerusi Umno Selangor) Datuk Megat (Zulkarnain Omardin) seorang.

"Supaya kita dapat kembalikan kepercayaan masyarakat," jelas Khaled.

Empat hari lalu, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mengecam Setiausaha Agung DAP Anthony Loke kerana cuba menyemak semula garis panduan kerajaan mengenai sumbangan syarikat minuman keras kepada sekolah vernakular.

Akmal mempertahankan garis panduan Kementerian Pendidikan, menegaskan ia perkara betul untuk dilakukan kerana secara moralnya tidak disenangi jika mana-mana institusi akademik menerima dana daripada syarikat minuman keras.

Loke sebelum ini berkata akan membangkitkan isu berkenaan dalam mesyuarat kabinet memandangkan konsert kutipan dana untuk sekolah Cina telah berlangsung selama 30 tahun dan tidak pernah berdepan masalah sehinggalah seorang pemimpin pembangkang membangkitkan isu itu.