Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

KOLUM | Demonstrasi, meritokrasi dan demokrasi di Bangladesh

Demonstrasi besar-besaran pelajar  di Dhaka, Bangladesh sampai ke puncaknya pada Sabtu lalu, 20 Julai. Tiga hari kemudian, kerajaannya mengumumkan penurunan kuota kakitangan awam untuk ahli keluarga pengasas negara dari 30 peratus ke tiga peratus. 

Tuntutan para pelajar adalah penghapusan kuota itu sepenuhnya dan pengambilan untuk kakitangan awam hendaklah berdasarkan pada meritokrasi. Kerajaan tidak memberi semua tetapi setakat 93 peratus. Empat peratus untuk kaum minoriti dan golongan terpinggir seperti OKU. Tetapi kuota untuk ahli keluarga pengasas negara tetap dikekalkan walaupun telah banyak dikurangkan.

Tentulah ada sebab mengapa kerajaan tetap mahukan kuota bagi ahli keluarga pengasas negara. Tetapi pada prinsipnya menetapkan kuota untuk ahli keluarga pengasas negara adalah tidak adil dan tidak demokratik. Bangladesh atau mana-mana negara pun bukan milik keluarga pengasasnya, ia adalah milik semua rakyatnya. Malah naMa rasmi negara itu ialah Republik Rakyat Bangladesh. Perkataan “rakyat” pada nama itu bukan simbolik semata-mata tetapi ia menegaskan tentang sifat jati diri negara itu.

Bangladesh diisytiharkan sebagai “republik rakyat” pada tahun 1971 apabila ia berpisah daripada Pakistan yang mana rasminya adalah Republik Islam Pakistan. Tahun itu dinyatakan sebagai tahun bermulanya kemerdekaan Bangladesh. Tetapi sebenarnya Bangladesh bukanlah “merdeka” daripada Pakistan. Ini kerana Pakistan tidak menjajah Bangladesh.  Wilayah yang kini dinamakan sebagai Bangladesh adalah Pakistan Timur. Sementara negara yang kini berbangsa Pakistan adalah Pakistan Barat sebelum tahun 1971.

Maknanya Bangladesh yang bermakna Negara Bangla tidak wujud sebelum tahun 1971. Malah dari segi konsep negara bangsa, bangsa Bangladesh yang bermaksud warganegara Bangladesh hanya ada apabila Republik Rakyat Bangladesh dibentuk pada Mac tahun itu. Penduduk wilayah itu tentunya sebelum itu adalah sebahagian daripada bangsa Pakistan.

Seringkali yang menamakan negara mereka sebagai “republik rakyat” adalah negara komunis. Pada tahun 1970-an, Kesatuan Soviet dan banyak negara komunis masih ada. Dari segi teori, “republik rakyat” bermaksud negara yang dimiliki, diperintah dan ditadbir oleh rakyatnya. Dari segi amalan mereka, “republik rakyat” diperintah oleh Parti Komunis yang disifatkan sebagai pihak mewakili rakyat. Negara komunis yang masih ada dan mengambil nama “republik rakyat” ialah Republik Rakyat China, Republik Rakyat Demokratik Korea dan Republik Demokratik Rakyat Lao.

Tetapi Bangladesh bukanlah sebuah negara komunis. Tetapi penubuhannya dipengaruhi oleh aliran kiri yang dipegang oleh parti pengasasnya iaitu Liga Rakyat atau Liga Awami pimpinan Sheikh Mujibur Rahman, Bapa Kemerdekaan Bangladesh, bapa kepada perdana menteri sekarang, Sheikh Hasina Wazed 

Lahirnya Dominion India, Dominion Pakistan 

Pakistan yang meliputi Pakistan Barat dan Pakistan Timur ditubuhkan pada tahun 1947 apabila British India mencapai kemerdekaan dengan melahirkan dua negara iaitu Dominion India dan Dominion Pakistan. Ketika mula mencapai kemerdekaan, kedua-dua  “dominion” ini merupakan negara merdeka bersistem monarki dalam Komanwel British. Monarki yang dimaksudkan ialah kedua-dua India dan Pakistan menerima raja British sebagai ketua negara yang diwakili oleh gabenor jeneral.  

Hanya pada tahun 1950, Dominion India menjadi Republik India. Pakistan pula menjadi Republik Islam pada tahun 1952. Ia disebut sebagai Republik Islam kerana azamnya untuk melaksanakan Islam dalam kehidupan bernegara moden. Ditambah pula Pakistan lahir sebagai ekspresi umat Islam dalam British India hendak menubuhkan negara  sendiri.

Akan tetapi sebagai Republik Islam, ia tidak bermaksud sebuah negara eksklusif untuk orang Islam sahaja. Sesebuah entiti “negara Islam” sebenarnya merupakan negara inklusif yang mengiktiraf identiti dan hak rakyat bukan Islam seperti termaktub dalam perlembagaan. Maka bendera kebangsaan Pakistan menyertakan satu jalur berwarna putih bagi mewakili rakyat bukan Islam. Ini kerana bendera hijau gelap dengan lambang bulan bintang putih pada bendera sudah mewakili agama dan umat Islam.

Namun, masalah besar bukanlah hubungan antara Islam dan bukan Islam, tetapi antara etnik Pakistan Barat dengan Pakistan Timur. Ada dua hakikat dalam sesebuah negara bangsa moden. Pertama, semua negara adalah bersifat pelbagai kaum, etnik, bahasa dan budaya. Kedua, sesebuah negara moden mempunyai kaum yang majoriti dan dominan. Dari segi faham nasionalisme, sesebuah negara moden perlu ada identiti nasional yang dibentuk daripada etnik yang majoriti dan dominan. Akan tetapi menurut fahaman demokrasi, semua etnik yang ada dalam negara mesti diberi ruang identiti nasional.

Di sinilah gagalnya Pakistan sebelum tertubuhnya Bangladesh  Kaum yang dominan iaitu Punjab yang bertutur bahasa Urdu menjadi identiti nasional Pakistan. Mereka yang berada di Pakistan Barat berusaha untuk mendominasi negara tanpa memberi ruang sewajarnya kepada kaum dan bahasa Bangla yang berada di Pakistan Timur. Bahasa kebangsaan adalah Urdu tetapi penduduk Pakistan Timur turut mahukan Bangla sebagai bahasa kebangsaan bersama juga. Maka ia merupakan resepi bagi perjuangan pemisahan Bangladesh sejak tahun 1962.

Ketika mana konsep Pakistan itu adalah suatu gagasan baharu yang artifisial; bangsa Bangla pula adalah jauh lebih tua dan purba yang telah lama wujud sebelum British menguasai benua kecil itu pada tahun 1859.

British menguasai dan mentadbir negeri Bangla dengan ibu kota kolonial India ditetapkan di Kolkata. British menamakannya Calcutta. Mereka memanggil Bangla sebagai Bengal dan orangnya disebut Bengali.  Laut di selatannya dipanggil Bay of Bengal.

Dari Teluk Benggala kepada bawang benggali

Bagi orang Melayu pula, negeri Bengal itu dikenali sebagai Benggala. Bay of Bengal dikenali sebagai Teluk Benggala. Bukan itu saja, ada perkara-perkara yang datang dari arah barat juga dinamakan Benggali. Orang Portugis sebagai orang putih pertama yang sampai dipanggil “Benggali putih”. Begitu juga orang Punjabi beragama Sikh juga dipanggil Benggali. Kemudian, ada bahan makanan seperti bawang benggali (bawang bombay),  ubi benggali (kentang) dan roti benggali.

Bagi memudahkan pentadbiran kolonialnya, British membelah negeri Benggala kepada Benggala Barat (West Bengal) beribukotakan Calcutta. Sementara Benggala Timur (East Bengal) dengan pusat pentadbitannya ialah Dhaka yang dipanggil British sebagai Dacca. Kedua-dua bahagian Benggala ini dari bangsa yang sama dan bertutur bahasa sama iaitu Bangla atau Bengali. Bezanya hanyalah majoriti penduduk West Bengal adalah Hindu dan East Bengal adalah Islam. Apabila India/Pakistan ditubuhkan, West Bengal menjadi salah sebuah negeri Republik India dan East Bengal menjadi wilayah Pakistan Timur.

Pakistan diasaskan oleh Liga Muslim. Dalamnya ada fraksi sekular dan kiri. Salah seorang aktivisnya ialah Sheikh Mujibur Rahman yang berasal dari Pakistan Timur dan memperjuangkan hak dan autonomi Pakistan Timur serta bahasa Bangla. Perjuangan itu dilakukan sejak tahun 1948 tetapi akhirnya fraksi itu keluar dan menubuhkan Liga Awami. 

Dalam pilihan raya umum pertama Pakistan pada tahun 1970, Liga Awami memperoleh kerusi paling banyak. Tetapi pihak tentera yang mentadbir negara itu, Presiden Yahya Khan enggan menyerahkan kuasa. Ekoran itu, mulalah berlaku perang saudara yang membawa kepada penubuhan Bangladesh.

Perjuangan kemerdekaan itu penuh dengan kekejaman dan penderitaan. Pejuang kemerdekaan Bangladesh mendapat sokongan dan bantuan dari India yang sentiasa berada dalam peperangan dengan Pakistan. Pembahagian India dan Pakistan tidak dilakukan dengan baik dan aman. Maka India tentu melihat peluang untuk melemahkan Pakistan apabila berlaku konflik Bangladesh.

Sebagai menghargai para pengasas negara itu, maka kuota 30 peratus jawatan awam diperuntukkan kepada ahli-ahli keluarga mereka. Namun begitu, ia bukan hanya soal penghargaan tetapi untuk memastikan juga Republik Rakyat Bangladesh sentiasa berada pada landasan nasional yang digariskan oleh Sheikh Mujibur Rahman dan Liga Awami.

Akan tetapi tentunya menetapkan kuota sebegitu rupa bercanggah dengan fahaman perjuangan asas Liga Awami yang pernah menuntut keadilan dan hak bangsa Bangla daripada Pakistan. Bagi orang luar, kuota seumpama itu merupakan nepotisme dan korupsi dalam negara yang diasaskan atas nama “republik rakyat.”

Lebih-lebih lagi selepas 53 tahun tentunya soal kemerdekaan sudah berada dalam lipatan sejarah. Apa yang penting ialah cabaran ekonomi masa ini. Dengan bilangan penduduk yang jauh lebih banyak, peluang pekerjaan yang sukar bagi siswazah-siswazah, tentulah kuota seumpama itu tidak lagi dapat diterima.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.