Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

'Tak mustahil Wan Fayhsal jadi Anwar Ibrahim kedua'

Di sebalik pelbagai label dan olokan sesetengah pihak terhadap Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, seorang ahli akademik sebaliknya melihat ada potensi besar pada sosok ketua Pemuda Bersatu itu.

Di mata profesor sains politik Universiti Sains Malaysia (USM), Ahmad Fauzi Abdul Hamid, dia tidak menolak kemungkinan bahawa Wan Ahmad Fayhsal boleh melangkah lebih jauh dan signifikan dalam politik.

Katanya, ada beberapa ciri yang berkualiti pada Wan Ahmad Fayhsal seperti semangat yang tinggi, lantang bersuara dan prihatin kepada nasib umat Islam di luar negara.

"Tidak mustahil Wan Ahmad Fayhsal boleh menjadi Anwar Ibrahim yang seterusnya," kata pensyarah itu kepada Malaysiakini semalam.

Tambah Ahmad Fauzi pada diri ahli parlimen Machang itu dia melihat ada semangat intelektual yang mengagumkan.

“Dia mampu membaca dan menganalisis karya-karya besar daripada pemikir dunia, ditambah pula dia anak murid kepada pemikir Melayu Islam, Syed Muhammad Naquib al-Attas,” katanya.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid

Ahmad Fauzi berkata kali terakhir dia melihat pemimpin muda yang berpotensi besar ialah semasa Anwar muda.

Katanya darah muda dan semangat menyala-nyala Wan Ahmad Fayhsal mengingatkan dia kepada Anwar sewaktu aktif dalam gerakan mahasiswa puluhan tahun silam.

Wan Ahmad Fayhsal menjadi perhatian ramai selepas dia digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan, baru-baru ini.

Sebelum itu dia berbahas berkenaan isu penjualan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) dan menggunakan surat layang bagi mengukuhkan dakwaannya.

Tindakan tersebut menyaksikan Wan Ahmad Fayhsal dilihat sebagai seorang wira yang bersuara untuk kepentingan umat Islam, manakala pihak kerajaan dianggap sebagai menyekat suaranya.

Akar umbi belum faham

Bagaimanapun itu bukanlah kali pertama ahli politik berusia 37 tahun berkenaan menuai perhatian ramai.

Sebelum ini dia pernah disindir atau dipuji kerana mengemukakan cadangan agar negara mencetak lebih banyak wang sebagai salah satu cara menangani isu hutang.

Menurutnya dengan mencetak lebih banyak wang ia kemudian boleh diberikan kepada orang ramai untuk dibelanjakan.

Untuk rekod Wan Ahmad Faysal ketika itu merupakan timbalan menteri belia dan sukan.

Pada Ogos 2020 pula - juga ketika berada dalam kerajaan - nama Wan Ahmad Fayhsal menjadi sebutan apabila tular rakaman video menunjukkan dia menawarkan surat sokongan sebagai balasan untuk undi yang diberikan kepadanya dalam pemilihan Bersatu.

Dia ketika itu dalam usaha memenangi jawatan ketua Pemuda Bersatu.

Menurut Ahmad Fauzi, dengan kualitik yang ada pada ahli politik muda itu PN dan Bersatu wajar memanfaatkan sisi intelektualnya untuk memberi nilai tambah kepada mereka.

“Saya rasa akar umbi PN masih belum faham lagi pemikiran Wan Ahmad Fayhsal.

“Mungkin dia sendiri belum mampu berkomunikasi apa yang ada dalam mindanya kepada mereka,” katanya.

Untuk saingi Akmal Salleh

Ahmad Fauzi turut percaya Wan Ahmad Faysal boleh menjadi pemimpin yang bagus jika mampu mematangkan dirinya.

“Saya akui Ahmad Faysal ini ada masa beremosi dan tergopoh-gapah, namun apa bezanya dengan Anwar di waktu muda?" katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, berkata sokongan orang Melayu kepada Ahmad Fayhsal adalah lebih kepada gerakan menolak kerajaan, bukan kerana ketokohan dan intelektualnya.

“Oleh kerana pembangkang (PN) menang suara Melayu, maka apa saja 'gema' yang datang daripada figura itu, ia akan disambut baik,” katanya kepada Malaysiakini.

Hisommudin Bakar

Hisommudin turut menambah, arus menyerang kerajaan melalui TikTok masih lagi dominan hasil keberkesanan pembangkang memanfaatkan platform tersebut dengan baik.

“Tampil dengan kreativiti dalam bentuk lagu, dikir barat, pempengaruh dan meme ia secara tidak langsung menyebabkan audien lupa pada prestasi PN semasa mereka menjadi kerajaan,” katanya.

Pensyarah Jabatan Sains Politik Universiti Malaya (UM) Mohamad Tawfik Yaakub pula melihat PN memerlukan Ahmad Fayhsal untuk menyaingi watak 'jaguh Melayu' yang ditampilkan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh.

“PN sudah tercabar apabila Umno mula menjuarai isu orang Melayu melalui Akmal.

"Oleh sebab itu watak Melayu yang ada pada Wan Ahmad Fayhsal terpaksa mula ditonjolkan,” katanya.