Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Bersatu tak risau tapi Fahmi terdesak, kata Wan Fayhsal

Seorang pemimpin kanan Bersatu menegaskan parti itu tidak berasa risau dengan isu 'rundingan Umno-PAS' seperti mana tanggapan dilontarkan Menteri Komunikasi merangkap jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, semalam.

Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebaliknya berkata Fahmi yang membuat kenyataan itulah menunjukkan mereka (PH) terdesak untuk memecahbelahkan kesatuan PN.

"Bersatu tidak risau tentang hal ini kerana kami masih lagi bersama PAS dalam sebuah gabungan parti yang berdaftar.

"Tumpuan kami ketika ini ialah untuk berdepan PRK Nenggiri dan kita lihat kerjasama Bersatu dengan PAS telah membuah hasil yang baik di pelbagai peringkat sejak PRU ke-15 lalu.

"Jadi Fahmi menunjukkan mereka yang terdesak untuk cuba memecahbelahkan PAS dan Bersatu.

"Mereka takut dengan kekuatan PN yang semakin mendapat sokongan rakyat walaupun kami di pihak pembangkang ditekan hebat dengan pelbagai cara oleh kerajaan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Dia yang juga ahli parlimen Machang mendakwa sokongan rakyat kepada PN tidak luntur kerana mereka berdepan dengan pelbagai fitnah dan sekatan.

Urusan masing-masing

Malah, kata Wan Ahmad Fayhsal, serta penggantungnya selama enam bulan daripada menyertai Dewan Rakyat tidak langsung melemahkan sokongan dan kerjasama antara kedua-dua parti.

Dia berkata demikian ketika ditanya sejauh mana kerisauan Bersatu susulan khabar angin yang mendakwa berlaku 'rundingan sulit' di antara Umno dan PAS.

Isu itu muncul ekoran dakwaan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari melalui laporan media beberapa hari lalu.

Ahmad Fadhli antara lain berkata pertemuan itu dibuat secara tidak formal namun tidak mendedahkan siapakah pemimpin Umno yang terlibat dalam rundingan berkenaan.

Menurutnya, pemimpin utama Umno tersebut meluahkan "rasa serba salah" bekerjasama dengan kerajaan perpaduan yang didakwanya merugikan Umno.

Fahmi Fadzil

Semalam Fahmi turut memberi responnya berhubung perkara itu dengan menegaskan bahawa Bersatu sepatutnya benar-benar bimbang dengan situasi berkenaan.

Dakwanya, Bersatu sedar bahawa mereka sebenarnya menjadi beban kepada PN dan PAS dalam gabungan tersebut.

Wan Ahmad Fayhsal berkata memang menjadi matlamat musuh politik PN untuk mereka berusaha untuk memecahbelahkan hubungan di antara Bersatu dan PAS.

"Itu yang Fahmi selalu mainkan sejak PRK Kuala Kubu Bharu lagi. Itu modus operandi PH - untuk memecahbelahkan kesatuan PN.

"Adapun di pihak PAS yang berjumpa dengan (pemimpin) Umno, itu urusan parti masing-masing.

"Yang penting kita semua tahu ahli politik sebuah gabungan (dalam) Bersatu dan PAS sentiasa bermusyawarah dalam kerangka PN untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit.

"Dalam hal ini tidak timbul isu PAS akan mengkhianati Bersatu kerana kami masih lagi berjuang dalam kerangka PN," katanya.

Tambah Wan Ahmad Fayhsal, kalau perjumpaan itu dalam maksud bertemu secara kebetulan atau santai, ia bukanlah sesuatu yang perlu diperbesarkan.

"Kami pun berjumpa dengan Umno kerana ahli politik Melayu masing-masing ada isu bersama," katanya yang mengambil contoh isu Blackrock.