Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Semangat nak bela ulama boleh tersasar jadi macam jahiliah

Bermula dengan kadar yang sederhana, sentimen kononnya sayangkan Islam dan 'cintakan ulama' perlahan-lahan menjalar menjadi semangat yang berbahaya.

Beberapa kejadian yang berisiko - termasuk ancaman memukul atau membunuh - dikesan dengan sesetengahnya sudah dikenakan tindakan melalui undang-undang.

Namun beberapa agamawan menyeru masyarakat agar berhati-hati dan tidak terpedaya atau terpengaruh sehingga boleh mengundang masalah pada masa depan.

Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Mohd Hapiz Mahaiyadin, menegaskan sikap sebegitu sekiranya didasari oleh emosi yang melampau maka ia menyemai fanatik orang Arab Jahiliyah.

“Sekiranya ada anak muda giat nak pertahan ulama sehingga mengugut nak memukul seseorang, maka ia menyerupai dasar 'belalah saudara kamu ketika dia dizalimi atau menzalimi' orang Arab Jahiliyyah.

“Islam ajar kita mempamerkan akhlak pekerti mulia yang berorientasikan kesejahteraan dan keharmonian," katanya kepada Malaysiakini.

Mohd Hapiz Mahaiyadin

Tambah Mohd Hapiz tidak salah untuk seseorang Muslim menyatakan rasa cintakan terhadap orang soleh dan ulama, namun ia tidak seharusnya melampau sehingga membawa dosa atau kejahatan.

Terdahulu Mohd Hapiz dihubungi bagi mendapatkan pandangannya mengenai fenomena sentimen melampau yang berlaku dalam kalangan anak muda kononnya ingin mempertahankan ulama.

Antara insiden yang membimbangkan itu melibatkan seorang pengguna Tiktok yang mengajak masyarakat menumbuk pempengaruh politik pro-PH atas alasan mahu membela Islam dan ulama.

Pengguna TikTok terbabit mendakwa pempengaruh terbabit menghina ulama melalui sebuat ceramah politik di Sungai Bakap.

Ulama tak maksum

Dalam kejadian berasingan, pemilik akaun Facebook bernama Rosly Yusof memaparkan gambar seorang belia penunggang motosikal yang menulis “Walaupun nakal-nakal, kami mat moto tidak hina ulama”.

Rosly turut menceritakan pengalamannya menegur pemilik akaun Tiktok yang membuat siaran langsung pada waktu solat Maghrib namun dibalas: “Walaupun tak sembahyang, kami sokong ulama.”

Empat hari yang lalu pula, seorang lelaki dikompaun RM25,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia kerana memuat naik kandungan palsu mendakwa majlis tahunan tilawah al-Quran kini tidak diadakan kerana dipengaruhi "pihak tertentu".

Jan lalu pula seorang pemandu lori berusia 35 tahun dihukuman penjara enam bulan oleh mahkamah sesyen kerana membuat ugutab bunuh ke atas Perdana Menteri Anwar Ibrahim, melaui TikTok.

Rozaimi Ramle

Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (Kuips) Rozaimi Ramle pula melihat agenda seseorang mahu bersama ulama tidak boleh berlaku secara pukal sebaliknya perlu diiringi dengan maklumat yang benar.

“Agenda bersama (menyokong) ulama ini, kita harus tahu dahulu: ulama yang mana dia ingin pertahankan? Ulama tidak maksum, dan ada ulama yang baik serta ulama yang jahat.

"Ulama keempat-empat mazhab juga tak pernah kata diri (pandangan atau ijtihad) mereka sentiasa betul.

“Kalau ada anak muda yang nak bersama ulama, itu bagus, tapi mereka harus dibimbing dengan ilmu supaya tidak membawa budaya taasub dan pukalisme.

"Ikutlah kebenaran yang sesuai dengan al-Quran dan Sunnah,” katanya.

Pengerusi Pondok Rumi Sufi Jawi, Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli, turut menyatakan kebimbangannya terhadap sentimen anak muda bersama ulama yang tidak didasari oleh ilmu.

“Agama sendiri melarang kita memperjuangan perkara yang kita tidak tahu dan tidak ada ilmu. Allah SWT boleh persoal kita di akhirat kelak.

“Ini, ada yang sampai nak ugut tumbuk... hatta Islam yang sempurna pun Allah dan nabi larang kita pertahan dengan keganasan, inikan pula ulama yang tidak maksum.

“Ditambah lagi anda bersama ulama itu ada dasar apa? Adakah hanya kerana serban? Ulama juga ada banyak jenis. Ada ulama cintakan dunia demi jawatan kerusi dan ada ulama akhirat,” katanya.

Zuliadin Abdullah

Bagi Pengarah Biro Syariah dan Dakwah Amanah Terengganu, Zuliadin Abdullah, kebencian yang menjadi dasar dalam sentimen kononnya mahu membela ulama itu adalah hasil hasutan ulama kepartian.

“Ulama kepartian yang ada kepentingan politik sentiasa menyalakan api kebencian kepada anak muda yang ambil jalan mudah ingin ke syurga tetapi dengan kefahaman salah.

“Ulama yang sebenar meraikan perbezaan pandangan. Kebenaran hanya mutlak pada agama namun dalam mazhab agama ia berbagai,” katanya.

Pertahankan ulama atau parti

Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Umno, Mohd Khairuddin Aman Razali, berpendapat slogan mempertahankan ulama sekarang telah disalahgunakan oleh sesetengah pemimpin politik.

“Segelintir org politik menyempitkan maksud ulama iaitu merujuk kepada seseorang tokoh dalam parti tertentu yang mereka dukung.

"Padahal ulama sebenar merentasi kepartian. Termasuk dalam golongan ulama ialah para mufti dan guru agama yang di luar parti politik.

“Saya beri contoh - ketika para mufti mengeluarkan fatwa yg tidak senada dengan ulama parti tertentu, mereka turut diserang dan dihina.

“Jadi apakah benar terma 'mempertahankan ulama' itu atau ia sebenarnya mempertahankan orang parti sahaja?” katanya.

Mohd Syazreen Abdullah

Pengasas Pusat Kajian Irfan (Tradisi), Mohd Syazreen Abdullah, berpendapat penyakit sentimen sebegitu berpunca daripada sistem pendidikan yang gagal melahirkan masyarakat berfikiran kritis serta menghormati kesarjanaan ilmu.

“Kesannya mereka mudah terpengaruh dengan dakwaan pihak yang mendakwa diri ulama.

“Ulama yang sebenar ialah individu yang berilmu. Anak muda jangan mengikut membabi buta sebaliknya bijak menilai adakah ulama yang mereka ikuti itu memberi kesan kepada nilai intelektual mereka,” katanya.