Presma: Harga makanan, minuman boleh turun lagi kalau...
Selepas menurunkan harga minuman tertentu sebanyak 10 sen, kemungkinan untuk orang ramai menikmati pengurang harga jualan bagi hidangan lain tidak boleh diketepikan.
Menurut Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) langkah itu bergantung kepada kajian semula bagi melihat kesesuaian dan pelarasan hal-hal berkaitan.
Naib Presiden Presma, Abdul Mukthahir M Ibrahim, berkata pada peringkat ini ahli pertubuhan itu menurunkan harga minuman tanpa gula dan susu sebanyak 10 sen sebagai menyahut kempen Kurang Gula, Kurang Harga yang digerakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Untuk peringkat pertama ini, katanya, perancangan Presma disasarkan kepada minuman teh O kosong dan kopi O kosong yang akan dikurangkan harganya sebanyak 10 sen.
“Pada masa akan datang Presma akan kaji semula kos operasi dan peningkatan harga barangan asas.
"Selain itu jika KPDN bersetuju untuk memberi bantuan (insentif) kepada peniaga, kemungkinan besar banyak lagi makanan dan minuman akan dimasukkan dalam senarai penurunan harga,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Semalam media melaporkan lebih 3,000 restoran yang berpayung di bawah Presma setuju untuk menurunkan harga teh dan kopi O kosong (tanpa gula) sebanyak 10 sen.
Ia digerakkan selaras dengan kempen Kurang Gula Kurang Harga yang akan dilancarkan oleh KPDN tidak lama lagi.
Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh, yang dipetik BH Online melaporkan dia sudah mengadakan sesi libat urus bersama beberapa persatuan restoran dan wakil industri untuk merangka kempen tersebut.
Menurut Fuziah, kempen tersebut merupakan inisiatif bersama bagi menangani peningkatan kos merawat penyakit berpunca daripada tabiat pemakanan tidak sihat serta tidak seimbang, terutama melalui pengambilan gula berlebihan.
Naik ikut keadaan
Selain Presma, antara yang terbabit dalam libat urus itu ialah Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas), dan Persatuan Am Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura (MSCSPGA).
Menjelaskan lebih lanjut, Abdul Mukthahir berkata Presma mengambil bahagian dalam kempen mengurangkan pengambilan gula kerana cakna dengan peningkatan kos perubatan yang ditanggung dalam merawat pesakit kencing manis yang kian bertambah.
Ditanya mengenai rancangan menurunkan harga pada peringkat seterusnya, Abdul Mukthahir berkata, ia bergantung kepada kemudahan dan kos yang ditanggung peniaga.
“Itu terpulang pada kos. Misalnya tiba-tiba kerajaan kata nak bagi satu kemudahan kepada peniaga dan pemberian subsidi, harga makanan atau minuman boleh dikurangkan.
“Maksudnya, hal itu bergantung kepada pertolongan yang sudi diberikan oleh pihak kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Abdul Mukthahir menyatakan penyasaran subsidi diesel tidak memberi impak yang besar dalam isu kenaikan harga makanan dan minuman.
Jelasnya, harga sesuatu makanan dan minuman ditetapkan setelah peniaga mengambil kira kos operasi yang ditanggung mereka, termasuk kadar sewaan premis dan persaingan yang wujud di sekeliling.
“Sekiranya dalam satu barisan kedai itu (ada) jual kopi RM1.50, satu lagi pula RM1.40, harga tidak akan naikkan sehingga RM1.90.
“Kenaikan itu akan mengikut keadaan, kos operasi, kadar sewa kedai, semua ini akan diperhalusi dahulu,” jelasnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai