Zahid cabar anak muda sertai TVET untuk gaji lebih tinggi
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hari ini melaungkan cabaran kepada pelajar yang tidak bernasib baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), agar mereka meneruskan pelajaran dengan mengambil kursus pensijilan dalam Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Ahmad Zahid yang merupakan Pengerusi Majlis TVET Negara itu berkata program TVET menjanjikan gaji yang lebih lumayan jika dibandingkan dengan tingkat gaji berdasarkan sijil SPM.
“Saya mahu anak muda rebut peluang sedia ada...Jangan pernah meminggirkan mereka yang tak ada SPM. (Tanggapan) tak ada SPM, tak ada masa depan, so what?
“Sebenarnya yang tak ada SPM tapi ada latihan asas dalam Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bagi tahap 1 dan 2 mendapat pulangan lebih baik dan gaji yang lebih baik.
"Saya akan cabar walaupun tidak ada SPM gaji mereka lebih tinggi daripada mereka yang ada SPM,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Fisio dan Rehabilitasi Sukan Propain di Shah Alam, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan giat mempromosikan bidang TVET agar semua pelajar mendapat peluang untuk cemerlang dalam kehidupan masing-masing.
"Jika cemerlang dalam akademik pun, mereka akan mengambil kursus profesional, teknikal dan bidang-bidang berkaitannya.
"Kerajaan memberikan keprihatinan kepada mereka yang tidak cemerlang dalam akademik untuk diberikan peluang dalam bidang TVET ," katanya.
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid juga berkata kerajaan akan memperkenalkan kursus pensijilan fisioterapi dalam program TVET bagi memenuhi keperluan di negara ini.
Katanya, langkah itu juga selepas didapati nisbah ahli fisioterapi kepada penduduk di Malaysia adalah seorang kepada 7,400 penduduk, lebih rendah berbanding di negara maju dengan seorang ahli fisioterapi kepada 2,000 penduduk.
"Sebelum ini kursus berkaitannya banyak dibuka di kolej dan universiti melalui fakulti perubatan dan kesihatan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya kelulusan diploma.
"Ia juga mempunyai silibus telah diluluskan dan mempunyai badan akredetasinya.
"Namun di peringkat bawahan, kursus-kursus pensijilan boleh dilakukan melalui beberapa institusi TVET yang akan kita umumkan nanti," katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata pada peringkat permulaan,institusi TVET akan menyediakan Latihan asas dalam Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bagi tahap 1 dan 2.
"Oleh kerana negara memerlukan fisioterapis yang ramai, maka ini adalah bidang yang harus juga diceburi tanpa melalui sistem akademik yang biasa," jelasnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai