Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Peguam: Kenapa tiada pegawai SPRM didakwa kes Beng Hock?

Charles Hector mengingatkan bahawa RCI dan mahkamah mendapati kematian Beng Hock pada 2009 dikaitkan dengan soal siasat SPRM.

Seorang peguam menggesa kerajaan menjelaskan alasan tiada pegawai SPRM didakwa di mahkamah berhubung kematian Teoh Beng Hock pada 2009.

Charles Hector menegaskan bahawa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan mahkamah telah pun memutuskan bahawa kematian Teoh mempunyai kaitan dengan soal siasat oleh SPRM.

Aktivis itu mengingatkan kerajaan bahawa terdapat sentimen lazim bahawa SPRM dan pegawai agensi penguatkuasaan lain jarang atau sama sekali tidak pernah didakwa di mahkamah atas kematian semasa soal siasat, dalam tahanan atau kehilangan secara paksa.

Charles berkata ini berlaku walaupun selepas penemuan oleh Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia), Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EIAC), RCI atau mahkamah koroner yang menyiasat penglibatan pegawai-pegawai ini.

"Mengapa tiada siapa yang dikaitkan dengan perkara ini didakwa di mahkamah kerana ia adalah satu kesalahan jenayah?

“Kerajaan mesti menjelaskan kepada rakyat mengapa pegawai-pegawai ini tidak dibawa ke mahkamah jenayah?

“Walaupun agensi penyiasat tidak dapat mencari bukti yang mencukupi untuk dibuktikan di mahkamah terhadap pegawai-pegawai ini, kerajaan masih harus memberitahu kami bahawa mereka tidak dapat mendapatkan bukti yang mencukupi.

"Jika tidak, pegawai-pegawai ini akan terus melarikan diri. Tiada apa-apa yang telah dilakukan," kata Charles kepada Malaysiakini petang ini.

Dia menggesa kerajaan melaksanakan reformasi undang-undang untuk menghalang kejadian sama berulang bukan sahaja seperti kes Teoh, tetapi juga yang lain seperti kehilangan paksa aktivis Amri Che Mat pada 2016.

Teoh ditemui mati pada 16 Julai 2009, di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas disoal siasat semalaman di ibu pejabat SPRM Selangor di tingkat 14.

Pada masa kematiannya, Teoh adalah pembantu politik kepada Exco Selangor dan Adun DAP Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah.

Pada 2011, RCI memutuskan bahawa Teoh didorong untuk bunuh diri berikutan soal siasat agresif SPRM.

Pada 2014, Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan kematiannya disebabkan oleh perbuatan "orang atau orang yang tidak dikenali", termasuk pegawai SPRM yang menyoalnya semalaman sebelum dia ditemui mati.

Minggu lalu dalam jawapan bertulis parlimen kepada Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata bahawa kertas siasatan polis berhubung kes Teoh telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menetapkan 29 Julai untuk memutuskan semakan kehakiman oleh keluarga Teoh untuk memaksa polis menyelesaikan siasatan berhubung kejadian itu yang berlarutan sejak 15 tahun lalu.

Charles ialah salah penyelaras kumpulan hak asasi rakyat Malaysia Menentang Hukuman Mati & Penyeksaan (Madpet).