Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Syarikat didenda kerana guna alasan kaum pecat pekerja

Mahkamah Perusahaan mengambil tindakan terhadap sebuah syarikat kerana mengunakan alasan kaum untuk memecat pekerja secara tidak adil.

Mahkamah membuat keputusan itu apabila membenarkan kes S Janarthen terhadap Auto Abundance Sdn Bhd selepas dia dipecat pada 14 Mac 2022.

Dalam pemberian pampasan RM71,500 kepada pihak yang menuntut, pengerusi mahkamah D Paramalingam tidak bersetuju dengan dakwaan dalam penghujahan bertulis syarikat berkenaan terhadap tuntutan itu.

Mahkamah merujuk kepada dakwaan bahawa Janarthen tidak mematuhi peraturan syarikat kerana dia mempunyai 'godfather' daripada kaum yang sama.

Paramalingam berkata adalah sangat malang bagi syarikat itu kerana menggunakan alasan kaum dalam mewajarkan pemecatan itu yang dikaitkan dengan pertikaian antara dua pemegang saham merangkap pengarah.

Kedua-dua pemegang saham merangkap pengarah itu adalah daripada etnik berbeza, dengan dakwaan bahawa Janarthen rapat dengan salah seorang daripada mereka.

Paramalingam berkata pihak yang menuntut kehilangan pekerjaannya sebagai pembantu kualiti (QA) kerana perselisihan faham antara pengarah.

"Apa yang kita ada di sini ialah kebuntuan antara dua pengarah yang memegang saham sama rata dalam syarikat itu.

"Dan di tengah-tengah pertikaian yang berterusan antara dua orang atasan ini, pihak yang menuntut menjadi mangsa," kata Paramalingam dalam alasan bertulis bertarikh 11 Julai.

Pengerusi mahkamah menyatakan bahawa walaupun Jenarthen memohon diambil bekerja semula, mahkamah melihat ini tidak wajar kerana 'perang terbuka yang berlaku antara dua pengarah dan pemegang saham'.

"Mengambil semula pihak yang menuntut ke jawatan yang disandangnya sebelum ini dalam syarikat itu hanya akan mencetuskan konflik dan menyebabkan banyak ketidakharmonian," kata Paramalingam.

Mahkamah menambah bahawa syarikat itu gagal membuktikan tiga dakwaan terhadap Jenarthen yang digunakan untuk mewajarkan penamatan pekerjaannya.

Dakwaannya ialah dia gagal masuk kerja pada waktu kerja yang betul, ditangkap minum alkohol semasa waktu kerja, dan mencabar salah seorang pengarah syarikat untuk bertumbuk.

Jenarthen pada mulanya bekerja di syarikat itu sebagai pekerja pentadbiran, sebelum meletak jawatan sebagai QA pada 20 April 2018.

Dia memulakan semula pekerjaan sebagai QA pada Julai 2019, dengan penamatannya kemudian pada Mac 2022.

Jenarthen diwakili oleh syarikat guaman R Thayalan. Syarikat itu diwakili oleh salah seorang pengarah.

Mahkamah Perusahaan mendengar kes itu antara Oktober tahun lalu hingga Februari tahun ini.