Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Adik minta DAP gesa kematian Beng Hock disiasat sebagai kes bunuh

Adik kepada mendiang Teoh Beng Hock, Teoh Lee Lan menggsa DAP menggunakan kekuatan yang dimilikinya di Parlimen bagi menggesa agar kematian abangnya disiasat sebagai kes bunuh.

Dalam ucapannya ketika acara ulang tahun ke-15 kematian Beng Hock hari ini, Lee Lan berkata mahkamah telah memutuskan kematiannya sebagai homisid.

Pada 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan kematian Teoh berpunca daripada tindakan seorang atau beberapa orang tak dikenali, termasuk pegawai SPRM yang menyoal siasatnya.

"Kami harap DAP dapat menggunakan kekuatan 48 kerusi Parlimennya dalam kerajaan perpaduan untuk menyeru siasatan kes Beng Hock dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (kesalahan bunuh).

"Kami harap DAP dapat gunakan kuasanya untuk mengubah kes ini dan menyuarakan kekecewaan yang telah kami suarakan sepanjang 15 tahun ini. Tangkap pelaku dan dakwa mereka di mahkamah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Teoh Lee Lan (kanan) bersama ibu mendiang, Teng Shuw Hor

Persatuan Teoh Beng Hock untuk Kemajuan Demokrasi (TBH-ADA) telah cuba untuk bertemu dengan Anwar Ibrahim sejak dia menjadi perdana menteri.

Menurut Lee Lan, mereka memohon untuk bertemu Anwar bukan tanpa sebab, tetapi untuk melihat jika kerajaan PH ada kejujuran, keberanian dan tekad politik untuk memenuhi janji yang dibuat kepada keluarga mendiang sebelum ini.

Dia berkata keluarganya mahukan penjelasan selepas mereka terpaksa menunggu selama lebih setahun sejak PH menjadi kerajaan.

"Sepanjang setahun lalu, kami menunggu kerajaan perpaduan untuk melakukan inisiatif bagi memenuhi janji PH kepada keluarga Teoh semasa mereka menjadi pembangkang.

"Kami harap kerajaan PH ingat yang bukan keluarga Teoh saja yang menunggu jawapan, tetapi seluruh rakyat," katanya lagi.

Keluarga Teoh dilaporkan telah beberapa kali memohon untuk bertemu Anwar tetapi belum berhasil.

Namun, selepas pertembungan antara TBH-ADA dengan polis di luar Parlimen minggu lalu, Anwar telah bersetuju untuk bertemu mereka pada 1 Ogos ini.

Kira-kira 100 hadirin berkumpul di Nirvana Memorial Park di Semenyih, Selangor bagi memberi penghormatan kepada mendiang.

Antara pemimpin DAP yang hadir adalah penasihat Tan Kok Wai, bendahari Fong Kui Lun, ketua Wanita Teo Nie CHing, timbalan pengerusi DAP Selangor Ean Yong Hian Wah Ahli Parlimen Bakri Tan Hong Pin dan Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran.

Selain Lee Lan, turut hadir adalah ibu Beng Hock, Teng Shuw Hor dan pengerusi TBH-ADA Ng Yap Hwa.

Dalam ucapannya, Lee Lan turut mengucapkan terima kasih kepada Adun dan ahli Parlimen DAP yang hadir.

Beng Hock meninggal dunia ketika di bawah tahanan SPRM pada 16 Julai 2009.

Dia ditemui meninggal dunia di bahagian koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam ,Shah Alam,Selangor selepas disoal siasat di tingkat 14 bangunan itu, yang ketika itu menjadi ibu pejabat SPRM Selangor.

[Baca berita asal]