Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Pampasan RM100j: Akmal pesan Adun Rembia sediakan 'tin Milo'

Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh berpesan kepada Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis supaya menyediakan tabung bagi membayar pampasan RM100 juta kerana melompat parti.

"Semalam Ketua Menteri (Ab Rauf Yusof) dah buat sidang media, Setiausaha Agung Umno (Asyraf Wajdi) dah keluarkan statement, sediakan RM100 juta.

"Nasihat saya, siapkan tin-tin Milo untuk dikumpulkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Subang di bangunan Umno Selangor hari ini.

Terdahulu Asyraf berkata semua calon BN telah menandatangani akuan bersumpah yang secara jelas menyatakan mereka akan meletakkan jawatan sebagai ahli parti dan wakil rakyat jika menyertai parti politik lain.

Langkah tersebut, katanya bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan dan mereka juga perlu membayar balik kepada BN sebanyak RM100 juta.

Asyraf juga mencabar Jailani untuk berjumpa di mahkamah susulan tindakannya menyertai PAS.

Pada 16 Julai lalu, PAS mengumumkan bahawa Jailani - yang digantung enam tahun daripada Umno - telah menyertai parti Islam itu sejak Jun tahun lalu.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata penyertaan Jailani ke dalam PAS tidak akan menjejaskan kedudukan Adun terbabit kerana DUN Melaka belum menguatkuasakan undang-undang antilompat parti semasa Jailani menyertai parti itu.

Dalam perkembangan lain, Ketua Umno Subang Armand Azha Abu Hanifah yang turut hadir pada majlis dirasmikan Akmal hari ini berkata dia akan membentangkan usul khas mendesak pelantikan ketua pemuda parti itu sebagai menteri kabinet.

Ini, kata Armand kerana ketua pemuda Umno tidak diberi mandat untuk menerajui jawatan menteri atau timbalan menteri selama dua penggal berturut-turut.

"Kita minta jawatan ini bukan atas kapasiti Dr Akmal. Tapi atas kapasiti Pergerakan Pemuuda Umno Malaysia.

"Bagi saya selaku ketua Umno bahagian, dah dua penggal ketua pemuda tak diberi ruang dan peluang untuk galas jawatan menteri atau timbalan menteri.

"Rakyat nak lihat muka baru, suara baru, the new upcoming leader, saya yakin Dr Akmal calon sesuai dan calon pewaris yang perlu diangkat suara Umno dalam kabinet untuk semak dan imbang," katanya.

Armand, bekas ahli majlis tertinggi Umno turut menggesa perwakilan sayap pemuda parti itu di seluruh negara untuk mengemukakan usul berkenaan dalam mesyuarat mereka yang akan datang.

Sebagai maklum balas, Akmal berkata dia tidak bersetuju dengan usul itu dan terpaksa menolaknya.

Sambil merakamkan penghargaan atas sikap dan niat di sebalik usul itu, Adun Merlimau berkata objektifnya untuk memulihkan Umno supaya mendapat keyakinan rakyat.

"Tujuan saya adalah kembalikan Umno di hati rakyat. Jadi menteri ni, tengoklah bila Umno dah menang dan memerintah secara majoriti baru saya fikirkan.

"Setakat hari ni tak ada,” kata Akmal.

Di sebalik penolakan Akmal, Armand menegaskan dia akan terus membawa usul itu ke peringkat tertinggi.

"Saya akan bawa terus usul ni dan diluluskan. Tak salah kalau Akmal diberikan pelaung untuk jadi menteri kabinet, atas persetujuan PM," kata Armand.

[Baca berita asal]