Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Aktivis mogok lapar lapor polis, dakwa terima ugutan bunuh

Seorang aktivis pro-Palestin membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini setelah mendakwa menerima ugutan bunuh menerusi media sosial.

M Mythreyar, 45 sebelum ini membuat mogok lapar meminta kerajaan membatalkan penjualan Malaysia Airlines Holdings Bhd (MAHB) kepada sebuah syarikat berkait dengan Blackrock.

"Saya mendapati di media sosial terlalu banyak kenyataan, komen, kata-kata fitnah, kata-kata keji, hasutan, fitnah dan ugutan terhadap saya.

"Saya nyatakan antara yang buat posting tersebut adalah seorang peguam yang menyokong kerajaan dan sebuah portal prokerajaan yang kutuk menyatakan saya ada muslihat kerana buat mogok lapar, dan lain-lain lagi.

"Saya buat laporan polis ini juga kerana ada ugutan ancam nyawa terhadap saya. Saya mohon polis siasat kes ini," katanya kepada Malaysiakini.

Peguam Mythreyar, Rafique Rashid Ali turut hadir di balai polis.

Mengulas lanjut, Mythreyar berkata kenyataan-kenyataan ini dibuat oleh para pempengaruh dan penyokong kerajaan yang menyokong perdana menteri atau ahli-ahli kerajaan.

Katanya, antara komen-komen ini menyatakan dia membuat mogok lapar ini kerana wang dan menggunakan kod QR untuk kutip derma, dan elak bayar hutang.

"Saya akan bekerjasama dengan pihak polis untuk pastikan mereka yang buat kenyataan palsu ini dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Untuk rekod, Mythreyar yang berasal dari Tanjung Malim sebelum ini membuat mogok lapar di Dataran Merdeka sejak 10 Julai yang lalu.

Dia menghentikan mogok laparnya pada jam ke-200 semalam selepas keadaan kesihatannya menjadi semakin lemah.