Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

ULASAN | RUU mufti Wilayah: Adakah selari dengan perlembagaan?

Baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Senator Mohd Na’im Mokhtar membentangkan RUU Mufti Wilayah Persekutuan di Dewan Rakyat. Bacaan kali pertama dibuat pada 2 Julai lalu. 

Pelbagai polemik timbul berkenaan RUU ini, ada yang menyokong dan ada juga yang mengkritik beberapa peruntukan khususnya Seksyen 3 yang memperincikan definisi Ahli Sunnah wal Jamaah. 

Tulisan ini tidak menyentuh tentang definisi siapakah Ahli Sunnah kerana perkara tersebut telah pun dijawab panjang lebar oleh ramai tokoh-tokoh agama tanah air. Tetapi yang lebih penting daripada itu adakah peruntukan Seksyen 3(4) RUU ini berperlembagaan?

Seksyen 3 menyentuh tentang pelantikan mufti dan timbalan mufti. Dalam Seksyen 3(2) dinyatakan bahawa seseorang itu layak menjadi mufti atau timbalan mufti sekiranya dia seorang warganegara Malaysia, seorang Ahli Sunnah dan mempunyai kepakaran dalam hukum syarak. 

Selanjutnya, Seksyen 3(3) mendefinisikan Ahli Sunnah sebagai seorang yang berpegang dengan aqidah Asyairah dan Maturidiyah, mengikuti Mazhab Syafie atau dalam keadaan tertentu mana-mana satu dari mazhab yang empat atau ijtihad yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa serta berpegang dengan tasawuf Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.

Untuk lebih memahami apa yang dimaksudkan oleh peruntukan Seksyen 3, saya bawakan satu contoh--kes Muhammad, seorang Muslim warganegara Malaysia dan hafal al-Quran sewaktu umurnya 9 tahun. Dia kemudian belajar hadith dan menghafal Sunan Sittah dan al-Muwatta sewaktu umurnya 12 tahun. 

Dia kemudian mendapat ijazah sarjana muda, sarjana dan kedoktoran  dalam bidang fiqh dan syariah. Beliau juga berguru dengan beberapa ulama terkenal yang menjadi rujukan dunia. Beliau menguasai bahasa Arab dan kesusasteraannya serta diakui oleh ulama-ulama ini sebagai seorang yang faqih. Di dalam aqidah beliau lebih cenderung kepada aqidah Ahlul Hadith walaupun beliau menguasai dengan baik aqidah Asyairah dan Maturudiyah. 

Di dalam fiqh beliau lebih cenderung dengan Mazhab Syafie tetapi dalam beberapa hal beliau berpegang dengan mazhab yang lain. Tidak semua ijtihad Jawatankuasa Fatwa dipersetujui oleh beliau. Beliau juga tidak cenderung dengan tarekat kesufian. 

Setelah lama berkelana di luar negara, menuntut ilmu dan mengajar beliau kembali ke Malaysia dan mengajar. Kerana penguasaan beliau terhadap ilmu agama yang luas beliau mempunyai pelajar yang ramai dan sering menjadi rujukan umat. 

Tetapi adakah beliau layak menjadi mufti di Wilayah Persekutuan jika RUU ini diluluskan? Tidak, kerana beliau bukan Ahli Sunnah menurut Seksyen 3(4).

Ujian litmus kesahan RUU 

Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam adalah agama persekutuan dan Jadual kesembilan Senarai Negeri pada perenggan pertama menyenaraikan bidang kuasa Islam bagi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen (untuk Wilayah-Wilayah Persekutuan) menggubal sebarang peruntukan berkaitan agama Islam. Bagaimanapun, peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan haruslah dibaca secara keseluruhan bagi memastikan hak-hak lain yang dijamin oleh undang-undang tertinggi negara ini tidak dicabuli.

Bahagian 2 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan tentang kebebasan asasi individu. Perkara 11 yang memperuntukkan berkenaan dengan kebebasan beragama dengan jaminan bahawa tiap-tiap orang berhak untuk menganut dan mengamalkan agamanya. 

Sekatan yang diberikan oleh Perkara 11(4) dan (5) adalah undang-undang negeri dan persekutuan boleh digubal untuk menyekat atau mengawal pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang Islam serta jika dalam pengamalan beragama seseorang itu bertentangan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam dan prinsip moral. 

Sekiranya kita membaca peruntukan-peruntukan lain dalam RUU Mufti 2024 ia hampir sama dengan peruntukan asal dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan)1993. Hanya dalam Seksyen 3 RUU yang baru, definisi Ahli Sunnah ditambah. 

Mengehadkan definisi Ahli Sunnah hanya kepada mereka yang beraqidah dengan al-Asyairah, Maturidiyah dan bertasawuf dengan pandangan Imam Junaid dan Imam al-Ghazali adalah bercanggah dengan Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan. 

Had ini juga menafikan orang-orang seperti Muhammad yang saya berikan contoh di atas untuk dipilih sebagai mufti atau timbalan mufti. Implikasi ini sudah tentu bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Sehingga hari perkataan Islam dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan tidak pernah diberikan pentafsiran khas yang merujuk kepada aliran tertentu walaupun rujukan kepada aliran dan mazhab tertentu misalnya Ahli Sunnah dan Mazhab Syafie atau mazhab-mazhab fiqh yang lain boleh ditemui dalam undang-undang negeri yang mentadbir pengurusan agama Islam.

Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara berkewajipan melindungi dan menjamin hak dan kebebasan beragama bagi semua orang di Malaysia tanpa mengira mazhab atau afiliasi kepada aliran tertentu. 

Sebarang peruntukan undang-undang yang melarang pengamalan atau mengehadkan amalan individu dalam agamanya adalah tidak berperlembagaan melainkan ia dapat dibuktikan dengan jelas hal tersebut bercanggah dengan ketenteraman awam, kesihatan awam dan prinsip moral.

Polemik Kaum Muda-Kaum Tua jangan dibawa dalam undang-undang

Jika ramai orang beranggapan hanya orang parti yang selalu mengherat isu politik menjadi national affairs, jangan terkejut jika orang agama juga tidak jauh berbeza. 

Benturan pemikiran yang terjadi kepada masyarakat Melayu pada satu ketika dahulu disebabkan oleh pergeseran Kaum Tua yang dianggap tradisionalis dan berusaha mempertahankan amalan turun-temurun nenek moyang dengan Kaum Muda yang dianggap reformis dan terpengaruh dengan gerakan pembaharuan agama oleh Abduh dan al-Afghani.

Ini isu besar bagi masyarakat Melayu sehingga ia direkodkan dalam silibus kebangsaan bagi mata pelajaran Sejarah di sekolah menengah.

Willian R Roff dalam bukunya The Origins of Malay Nationalism (1967) turut menceritakan tentang pergeseran ini yang bukan sahaja dalam praktik keagamaan individu tetapi sehingga perebutan dan lobi-melobi jawatan mufti. Bahkan Istana juga terherat sama menyelesaikan pertikaian antara Kaum Muda dan Kaum Tua. 

RUU Mufti 2024 ini sedang mengulang episod lama yang tidak sepatutnya menjadi keutamaan kerajaan. Yang kita perlukan sekarang ini adalah mereformasi institusi agama agar ia tidak ketinggalan dalam pasaran globalisasi. 

Teman-teman di seberang sudah mula berbincang tentang Mufti Artificial Intelligence dan Climate Justice, kita masih mengulang drama akhir abad ke-19 Tanah Melayu sebelum merdeka. 


AFIQ MOHD NOOR adalah aktivis masyarakat dan pernah beramal sebagai peguam bela dan peguam cara di Mahkamah Tinggi Malaya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.