JKOAP gesa kawasan projek TSB, TSK diwarta tanah adat Orang Asli
Jaringan Kampung Orang Asli Pahang (JKOAP) menyatakan rasa kecewa dengan tindakan kerajaan Pahang tidak mewartakan kawasan projek tanam semula komersial (TSK) dan tanam semula berkelompok (TSB) sebagai kawasan Tanah dan Wilayah Adat Orang Asli.
Projek sebelum ini diuruskan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahan Getah (Risda) dan kini pengurusannya diambil alih oleh Pahang Orang Asli Corporation (Oraco), iaitu syarikat milik kerajaan negeri.
Pengerusi JKOAP Ismail Muhammad berkata, pihaknya juga amat kecewa dengan hala tuju pembangunan masyarakat Orang Asli selepas Risda menghentikan operasi pengurusan projek TSK dan TSB, seperti dimaklumkan CEO Oraco Muhammad Olian Abdullah.
Dia mendakwa kenyataan Muhammad Olian baru-baru ini dirancang untuk menindakkan hak Tanah dan Wilayah Adat Orang Asli.
"JKOAP amat kecewa dengan perkara yang dibangkitkannya...sedangkan kawasan yang dimajukan kebanyakannya dalam kawasan Tanah dan Wilayah Adat Orang Asli," katanya dalam kenyataan semalam.
Dia merujuk kenyataan Muhammad Olian yang dimuat naik di TikTok sebelum ini, yang antara lain menafikan pihaknya ingin merampas tanah di penempatan Orang Asli, sebaliknya mereka hanya menguruskan projek yang ditinggalkan Risda.
"Hari ini ada kumpulan-kumpulan tertentu yang mengatakan Oraco ini nak rampas tanah-tanah Orang Asli, ditolaknya risda keluar. Kita tidak pernah menolak Risda keluar," katanya.
Katanya lagi, Risda "lari" kerana enggan membayar cukai kepada kerajaan negeri sehingga menyebabkan projek itu "tunggang-langgang", sebelum pengurusannya diambil alih Oraco.
Bagaimanapun Ismail dilihat tidak yakin dengan penjelasan itu, sebaliknya mendakwa pengambilalihan oleh Oraco lebih berdasarkan kepentingan perniagaan semata-mata.
Dia berkata jika tanah yang terlibat dengan projek TSK dan TSB memang adalah tanah adat, kerajaan negeri haruslah mewartakan secara kekal dan menyerahkannya kepada masyarakat Orang Asli setempat untuk dimajukan.
"(Ia boleh dibangunkan) sama ada melalui koperasi kampung atau secara individu bagi meningkatkan sosioekonomi orang kampung dan mengekalkan pengunaan hak secara adat dikekalkan dan dihormati," katanya lagi.
Terdahulu, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang Syed Ibrahim Syed Ahmad meminta agar masyarakat Orang Asli yang terlibat dengan projek TSB dan TSK di negeri itu tidak bimbang kerana ladang getah atau kelapa sawit yang diusahakan mereka tetap beroperasi seperti biasa.
Dia dilaporkan berkata kerajaan negeri juga sedang berusaha untuk memberikan tanah ladang tersebut kepada peserta terlibat, memandangkan ada peserta yang sudah mengusahakannya selama lebih 30 tahun.
Kerajaan negeri juga sedang melaksanakan beberapa tindakan ke atas tanah terlibat bagi memudahkan proses pembayaran cukai tanah, katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai