Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Walau mogok lapar tamat, aktivis komited terus lawan penjualan MAHB

Meskipun menamatkan mogok laparnya hari ini, aktivis pro-Palestin M Mythreyar berjanji akan terus berkempen membantah penjualan saham Malaysia Airlines Holdings Bhd (MAHB) kepada sebuah syarikat berkaitan Blackrock.

Mythreyar, 45, berkata demikian selepas menamatkan kempen mogok laparnya yang bermula 10 Julai lalu.

"Pada awalnya, saya percaya ini sahaja cara (mogok lapar) untuk meminta kerajaan menolak Blackrock. Tapi apabila saya berjumpa ramai orang yang datang, saya percaya ada cara lain untuk meneruskan kempen.

"Lebih kurang 10 atau 20 cara lain untuk teruskan kempen ini dan saya akan melakukannya sehingga kerajaan memutuskan untuk menolak Blackrock," katanya kepada Malaysiakini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur hari ini.

M Mythreyar dan Siti Aisah Ibrahim

Aktivis Siti Aisah Ibrahim, yang menyertai mogok lapar sejak 48 jam lalu, turut menamatkannya hari ini.

Siti Aisah, 31, berkata mogok mereka itu hanyalah satu permulaan serta pengorbanan bagi membangkitkan kesedaran orang ramai.

"Saya buat ini bukan untuk diri saya tapi kemanusiaan. Pesanan saya tolak Blackrock bebaskan Palestin," katanya.

Kedua-duanya minum air kelapa sebagai tanda tamatnya mogok lapar, pada jam 4.30 petang tadi.


Aktivis Mythreyar setuju hentikan mogok lapar pada jam ke-200 esok


Antara yang turut hadir menunjukkan sokongan adalah Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari, Tian Chua dari Sekretariat Solidariti Palestin (SSP), Ketua Penerangan Pejuang Muhammad Rafique Rashid Ali, Presiden Putra Ibrahim Ali, aktivis Hishamuddin Rais dan wakil pertubuhan Boycott, Divestment and Sanctions (BDS Malaysia), Gegar Amerika dan Friend of Palestin.

Mengulas lanjut, Mythreyar berkata bahawa dia menaruh harapan yang kerajaan akan membatalkan penjualan MAHB kepada sebuah konsortium yang dianggotai Global Infrastructure Partners (GIP), yang pegangannya telah dibeli syarikat pro-Israel, iaitu Blackrock.

"Setakat ini, tiada jawapan atau tindakan daripada erajaan. Tetapi, saya masih menaruh kepercayaan besar yang mereka akan sentiasa mengutamakan kemanusiaan berbanding ekonomi negara.

"Saya harap mereka sekurang-kurangnya boleh menyemak semula perjanjian MAHB dengan BlackRock," katanya lagi.

Paksa demi kesihatan

Dalam sidang media kemudian, Tian Chua berkata SSP mendesak Mythreyar menghentikan mogok lapar setelah mengambil kira kesihatannya.

"Petang ini adalah saat yang saya dan rakan-rakan aktivis SSP rasa bangga. Mythreyar bersama kami dalam perjuangan ini sejak tahun lepas. Bila dia bawa cadangan mogok lapar, kami khuathir kesihatan dia. Bukan main-main, mogok lapar adalah satu komitmen.

"Sebenarnya, dia menyatakan mahu mogok lapar sehingga kerajaan tarik balik penjualan MAHB. Tapi, ramai kalangan kami termasuk doktor yang datang secara kerap untuk memantau status kesihatan mendapati kesihatannya secara fizikal telah merosot dan kami menyeru agar dia hentikan mogok lapar ini.

"Kami rasa mogok lapar 200 jam ini satu tindakan luar biasa. Bagi kami ini satu kejayaan yang besar," katanya, sambil menyuarakan kekecewaannya apabila kerajaan tidak memberi sebarang respons ke atas mogok yang diadakan.

Tian Chua

Muhammad Rafique pula berharap kerajaan akan membuat pusingan U berhubung keputusan penjualan pegangan MAHB.

"Kerajaan ini terkenal dengan U-turn. Isu Akta Hasutan dah buat U-turn, turunkan harga minyak dah buat U-turn.

"Jadi, kami minta kerajaan sekali lagi buat U-turn dengan membatalkan penjualan MAHB kepada Blackrock," katanya.

Sementara itu, Hishamuddin mencadangkan lokasi mogok lapar Mythreyar dan Siti Aisah di Dataran Merdeka dijadikan sudut pidato.

Mogok lapar adalah satu bentuk protes politik yang digunakan di seluruh dunia, sesetengahnya berakhir dengan kematian.

Sesetengah penunjuk perasaan hanya menolak makanan pepejal manakala yang lain mengambil bahagian dalam "mogok lapar kering" dengan mereka juga mengelak daripada mengambil cecair.

Ketika mogok lapar berjalan, iaitu pada Isnin lalu, Kementerian Kewangan berkata tawaran pengambilalihan MAHB dijangka dimuktamadkan pada suku ketiga tahun ini.

Kementerian itu berkata pengambilalihan itu perlu dipersetujui sekurang-kurangnya 90 peratus pemegang saham sedia ada MAHB.