Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

'Tangguh RUU Mufti WP bukti dasar inklusif Madani'

Tindakan kerajaan menangguhkan bacaan kali kedua Rang Undang-undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 akan membolehkan isu perpecahan umat Islam ditangani dengan lebih baik, kata seorang ahli akademik.

Menurut pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Abu Hafiz Salleh Hudin, langkah tersebut juga menunjukkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengotakan janjinya untuk membina Malaysia Madani yang bersifat inklusif.

“Keputusan penting yang dilakukan oleh Anwar ini telah dan akan tercatat dalam sejarah Malaysia.

“Ia menggambarkan kecaknaan beliau yang sebenarnya dalam bidang keilmuan Islam yang rencam dan luas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama Abu Hafiz meluahkan kekhuatirannya terhadap kesan RUU itu apabila ia mengehadkan definisi Ahli Sunnah Wal Jamaah (Sunni) hanya kepada aliran Asya'irah dan Maturidiyah sahaja.

Mendakwa ia boleh mengundang kesan perundangan berantai, Abu Hafiz menambah Anwar benar-benar berusaha mengotakan katanya sebelum ini.

"Keputusan perdana menteri menangguhkan atau menarik balik pindaan RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 pada sidang Dewan Rakyat kali ini adalah sangat tepat dan telah menggugurkan kemungkinan unsur yang mampu lebih memecahkan umat," katanya.

Abu Hafiz Salleh Hudin

Untuk rekod sidang parlimen kali ini berakhir hari ini dan empat RUU ditangguhkan ke mesyuarat akan datang selepas ia diusulkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran.

Empat RUU tersebut ialah RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024, RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024, RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.

Pindaan RUU tersebut mencetuskan kontroversi apabila mengkhususkan takrifan Sunni hanya merujuk dua kelompok berkenaan saja dan ia menjadi sebahagian daripada syarat untuk seseorang dilantik menjadi mufti di Wilayah Persekutuan.

Harus jadi payung

Antara tokoh yang menyatakan kebimbangan itu sejak awal ialah Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin, diikuti beberapa nama lain termasuk Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (Kuips) Rozaimi Ramle.

Kata Mohd Asri, pentadbiran Islam di Wilayah Persekutuan yang berada dalam bidang kuasa kerajaan persekutuan sepatutnya mewakili kerencaman dan kepelbagaian rakyat.

Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Zulkifli Mohamad, pula menerbitkan sebuah e-buku berjudul Ahl Al-Sunnah Wa Al-Jama’ah: Siapakah Mereka? bagi mengulas isu berkenaan.

Dia yang juga bekas menteri agama berkata golongan Sunni tidak terhad kepada aliran Asya'irah dan Maturidiyah sebaliknya turut merangkumi kumpulan ahli hadis (Hanabilah).

Sebelas mufti negeri sudah menyatakan sokongan terhadap pindaan berkenaan iaitu Wilayah Persekutuan sendiri, Perak, Selangor, Sabah, Pahang, Kedah, Negeri Sembilan, Terengganu dan Melaka, Pulau Pinang dan Johor.

Rozaimi Ramle

Isu tersebut menampakkan perkembangan yang lebih menarik apabila Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail menzahirkan rasa tidak berkenan baginda apabila nama badan itu digunakan untuk menyokong RUU tersebut.

Sementara itu Rozaimi berpandangan penangguhan RUU berkenaan memberi ruang kepada kerajaan mengkaji dengan lebih teliti butiran-butirannya bagi membolehkan ia digubal secara lebih harmoni.

“Hal ini supaya tiada aliran lain dalam Sunni akan diketepikan.

"Kerajaan harus menjadi payung kepada semua aliran ini,” katanya kepada Malaysiakini.