Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

IPCC akan disemak apabila tiba masa - Saifuddin

PARLIMEN | Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata, Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020 akan disemak untuk pemerkasaan selanjutnya apabila tiba masanya.

“Kita (KDN) mengambil pendekatan bahawa pada hari muka di mana ada keperluan untuk kita melihat semula akta ini, itu akan kita teliti pada ketika itu," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Dia menjawab soalan bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (perubahan undang-undang dan institusi) Ramkarpal Singh (Pakatan Harapan-Bukit Gelugor) mengenai keperluan untuk memberikan Akta IPCC lebih kuasa dalam mengendalikan aduan mengenai pegawai polis.

Saifuddin mendedahkan bahawa IPCC mengendalikan tujuh kes, yang kesemuanya dalam siasatan.

Kes berkenaan melibatkan laporan daripada pegawai polis mengenai pegawai atasan mereka, aduan mengenai kurangnya tindakan terhadap rungutan sebelum ini, dan aduan mengenai integriti mereka yang berpangkat inspektor.

Ini adalah daripada 348 aduan yang diterima IPCC sejak Julai tahun lepas apabila IPCC dikuatkuasakan, tambahnya.

Selebihnya 341 kes terletak di bawah bidang kuasa agensi lain seperti SPRM, jelasnya.

Katanya lagi, peruntukan dalam Akta IPCC membenarkan aduan mengenai polis dirujuk kepada pihak berkuasa lain untuk siasatan dan penguatkuasaan.

Saifuddin turut menyeru agar pengkritik memberi kepercayaan kepada undang-undang itu.

“Prinsip yang kita pegang, sesuatu undang-undang itu sifatnya dinamik bukan statik bermaksud IPCC yg baru berkuat kuasa baru setahun, saya fikir, pendekatan yang lebih munasabah adalah beri ruang, berikan kepercayaan kepada IPCC," katanya.

Pada Januari, sekumpulan 57 pertubuhan masyarakat sivil menggesa kerajaan memperkukuh akta itu melalui ketelusan dan akauntabiliti untuk menamatkan keganasan polis.

Ia berkata "kekurangan struktur yang wujud" dalam IPCC akan menjadikannya tidak berkesan tanpa mengira pengalaman dan kecekapan ahlinya.