Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Rayuan akhir Peter Anthony ditangguhkan ke 1 Ogos

Rayuan akhir bekas menteri Sabah, Peter Anthony terhadap sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 kerana memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), ditangguhkan sehingga 1 Ogos ini.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Ahmad Zaidi Ibrahim menetapkan tarikh itu selepas membenarkan penangguhan yang dipohon Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada prosiding rayuan yang sepatutnya didengar hari ini.

Pihak pendakwaan dikatakan ingin menjawab "isu" berbangkit” dan memerlukan masa untuk meneliti rayuan dalam hujahan bertulis perayu.

"Kami bersedia untuk mengemukakan hari ini, tetapi kami memohon penangguhan untuk melihat isu yang timbul dalam penghujahan rakan saya yang terpelajar," kata Wan Shaharuddin, merujuk kepada hujahan peguam Peter.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan tidak menyatakan tentang "isu" itu.

Peguam utama Peter, Nicholas Kow menyatakan bahawa perayu mahu rayuan itu dihentikan secepat mungkin.

"Anak guam saya ingin membersihkan namanya di mahkamah. Pilihan raya negeri Sabah tidak lama lagi," kata peguam itu.

Presiden parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang berpangkalan di Sabah itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022 yang mensabitkan kesalahan serta menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 bagi pertuduhan di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

Keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur yang menolak rayuan Peter pada 18 April tahun lalu.

[Baca berita penuh]