Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Seorang lagi sertai mogok lapar anti-Blackrock

Seorang aktivis menyertai mogok lapar di ibu negara bagi membantah penjualan saham Malaysian Airport Holdings Bhd (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang sedang diambil alih oleh Blackrock.

Menurut M Mythreyar yang memulakan mogok itu lapan hari lalu, wanita tersebut bernama Siti Aisah Ibrahim, 31, dari Ampang.

Pemandu Grab itu menyertai mogok lapar itu sejak 4.30 petang semalam, katanya.

“Kami mengalu-alukan.

"Dia akan mogok lapar dan bermalam di sini sehingga kerajaan mendengar permintaan kami," kata Mythreyar kepada Malaysiakini petang tadi.

Siti Aisah setakat ini enggan memberikan sebarang kenyataan kepada media.

Blackrock menjadi sasaran boikot kerana melabur dalam syarikat yang menjual senjata kepada syarikat yang membekalkan senjata kepada  Israel. 

Konflik terbaru di wilayah Palestin sejak Oktober lalu, mencatatkan kematian hampir 40,000 orang.

Di sebalik bantahan Mythreyar, Kementerian Kewangan pada Isnin berkata ia menjangkakan untuk menyelesaikan penjualan MAHB pada suku ketiga tahun ini.

Kementerian menambah penjualan itu perlu mendapat kelulusan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada pemegang saham sedia ada MAHB.

Tawaran pengambilalihan MAHB adalah transaksi komersial yang dikemukakan oleh konsortium yang diketuai oleh dua pemegang saham semasa MAHB, iaitu Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sekiranya tawaran itu diterima dan dipersetujui oleh pemegang saham MAHB yang lain, Khazanah akan memiliki 40 peratus saham dalam MAHB dan KWSP akan memperoleh 30 peratus pemilikan, manakala Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP) akan memegang 30 peratus lagi saham.

Mogok lapar satu bentuk protes politik yang digunakan di seluruh dunia, sesetengahnya berakhir dengan kematian.

Sesetengah penunjuk perasaan hanya menolak makanan pepejal manakala yang lain mengambil bahagian dalam "mogok lapar kering" dengan mereka juga mengelak daripada mengambil cecair.

Pada 2018, pembuat filem Ukraine Oleh Sentsov, yang ditangkap di Crimea pada 2014, menyempurnakan mogok lapar selama 145 hari - salah satu yang paling lama direkodkan.

Dia menuntut pembebasan semua tahanan politik Ukraine yang ditahan oleh Rusia dan bersetuju untuk mengambil suplemen pemakanan oral dua bulan selepas mogok di bawah ancaman pemberian makan secara paksa.