Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Tindakan ke atas pegawai HRD Corp mesti ikut prosedur, kata Sim

PARLIMEN | Menteri Sumber Manusia Steven Sim hari ini menegaskan tiada sesiapa di bawah kementerian terbabit akan terlepas daripada tindakan jika didapati melakukan kesalahan.

Bagaimanapun, katanya, setiap langkah yang akan diambil - sama ada pelantikan atau penyingkiran - mestilah dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan.

Ditanya mengenai apa pandangannya terhadap gesaan agar

Ketika ditanya mengenai respons terhadap gesaan agar Ketua Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) Shahul Hamid Shaik Dawood, digantung berhubung isu yang terkait dengan badan itu, Sim berkata, prosedur sudah ada untuk menanganinya.

"Saya telah kemukakakan di parlimen pada minggu lepas bahawa dalam isu ini (HRD Corp) saya bagi jaminan, sesiapa yang bersalah, no one is safe (tiada sesiapa yang akan selamatk daripada tindakan).

"Tiada orang yang akan dilindungi, tiada yang akan selamat jika mereka bersalah.

"Tindakan akan diambil, tindakan paling tegas akan diambil, termasuk tindakan undang-undang," katanya di Dewan Rakyat.

Pada 9 Julai lalu, Ahli Parlimen Pasir Gurang, Hassan Abdul Karim, menggesa agar kerajaan menggantung sementara tugas Shahul Hamid bagi memberi ruang siasatan dijalankan ke atas badan tersebut.

HRD Corp menjadi perhatian ramai ekoran pendedahan laporan dibuat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dan Laporan Ketua Audit Negara mengenainya.

Mengulas lanjut, Sim berkata Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) telah menubuhkan pasukan petugas yang dikepalai ketua setiausaha kementerian berkenaan, Khairul Dzaimee Daud, untuk membincangkan cadangan yang dibuat PAC dan Ketua Audit Negara.

Pasukan petugas khas berkenaan, katanya, sudah bermesyuarat sebelum ini dan akan bertemu sekali lagi apabila sesi sidang parlimen sekarang berakhir tidak lama lagi,

Katanya, dalam mesyuarat kedua nanti pasukan ketugas khas terbabit akan melihat kepada tindakan-tindakan susulan yang boleh diambil selain sebarang isu lain yang berbangkit.

"Jadi kita akan ikut proses untuk pastikan kebenaran akan didedahkan," katanya.

Pada masa sama Sim berkata Kesuma akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang bertindak pantas menjalankan siasatan ekoran laporan tersebut.

"Mereka (SPRM) dengan segera membentuk satu pesukan ketugas khas untuk melakukan siasatan dan sebagainya.

"Mereka juga telahpun melawat pejabat HRD Corp dan Kesuma untuk mengambil dokumen-dokumen yang berkaitan," katanya.

Untuk rekod Kesuma membuat laporan kepada SPRM pada 5 Julai lalu ekoran laporan dua badan yang mendapati wujud isu dalam HRD Corp.