Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Bung tanya ‘ada musibah’ PN pakai lilitan putih, Ramli jawab 'tiada salah'

PARLIMEN l Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor hari ini berkata dia tidak melihat apa-apa yang salah dengan tindakan ahli Parlimen Pembangkang memakai lilitan lengan putih.

Menjawab Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Ramli berkata ia adalah pandangan peribadinya mengenai perkara itu, dan tidak mewakili Speaker Johari Abdul.

Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan)

“Ini pendirian saya, bukan pendirian Speaker. Selagi pakaian itu tidak melanggar syarat-syarat yang ditetapkan oleh peraturan Dewan, silakanlah.

“Itu keputusan saya,” katanya kepada Bung yang berdiri untuk mencelah semasa Waktu Soalan Menteri pagi tadi.

Bung Moktar: Jadi pada pandangan mata speaker tidak salah lah?

Ramli: Tak salah. Tidak melanggar.

Bung Moktar: Maknanya boleh jadi contohlah.

Bung dalam soalannya sebelum itu kepada Ramli secara sinis menyindir ahli parlimen PN yang sejak semalam memakai lilitan reben putih di tangan kiri mereka.

Tindakan itu sebagai tanda protes terhadap Johari yang memutuskan kedudukan enam ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebagai wakil rakyat kekal setakat ini.

Ramli Mohd Nor

Semalam, Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) ketika bangkit mengutarakan soalan pada sesi jawab lisan mengajukannya dalam bentuk pantun.

Dia merujuk kepada Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan berkaitan pertukaran parti politik anggota Dewan Rakyat.

"Riben Putih di lengan kiri sebagai protes berlakunya 'reformati'... spesifik merujuk kepada (Perkara) 49A.

“Soalan Masjid Tanah sudah beri, mohon jawapan menteri," katanya.

Perkara 49A mengandungi peruntukan anti-lompat parti yang diluluskan pada 2022.