Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

'Pembatalan pengecualian cukai Yayasan Albukhary tak pernah sampai pada saya'

Lim Guan Eng menafikan cadangan untuk pembatalan status pengecualian cukai Yayasan Al-Bukhary tidak pernah sampai ke mejanya ketika dia menjadi menteri kewangan.

Lim hari ini memberi keterangan dalam prosiding saman fitnahnya terhadap bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Ia tak pernah sampai ke meja saya ketika saya jadi menteri kewangan," katanya yang memegang portfolio itu ketika pentadbiran PH di bawah Dr Mahathir Mohamad.

Dia berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhyiddin, Chetan Jethwani.

Lim juga membantah kenyataan peguam bahawa selaku menteri kewangan, dia bertanggungjawab jika Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membatalkan status pengecualian cukai yayasan itu.

Menurutnya, tindakan LHDN tidak tertakluk kepada menteri kewangan, misalnya jika lembaga itu membatalkan status pengecualian cukai mana-mana yayasan.

Ketika prosiding pagi ini juga, Lim berkata pembatalan status itu dibuat ketika pentadbiran Muhyiddin, iaitu pada awal 2020 hingga akhir 2021.

Muhyiddin dijangka memberi keterangan sebagai saksi esok.

Pada 27 Mac tahun lalu, Lim memfailkan writ saman terhadap Muhyiddin atas dakwaannya yang Lim memberi lampu hijau kepada pembatalan status pengecualian cukai Yayasan Al-Bukhary.

[Baca berita asal]