Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Fadillah bimbang warga terdedah mikro plastik dalam air

Kerajaan melalui Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) sedang giat menjalankan penyelidikan berkaitan impak kehadiran bahan cemar baru terhadap kualiti air di beberapa lembangan sungai di Malaysia di bawah Rancangan Malaysia ke-12, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata bahan cemar berkenaan termasuk bahan pengganggu endokrin (EDCs), kerintangan antimikrob (AMR) dan juga mikroplastik.

“Bahan cemar baru yang menjadi tumpuan di peringkat antarabangsa adalah pencemaran berkaitan mikroplastik di dalam sumber air di Malaysia.

“Mikroplastik mengikut takrifan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah serpihan plastik bersaiz kurang daripada 5 mm dan ia memasuki sistem sungai melalui beberapa cara, terutamanya dari larian air permukaan, efluen air sisa (terawat dan tidak dirawat), efluen perindustrian dan sisa plastik terurai,” kata beliau.

Fadillah berkata demikian dalam ucapannya sempena Seminar Mikroplastik Kebangsaan Pertama anjuran NAHRIM bersama Frontier Laboratory Ltd., Japan dan Persatuan Penyelidikan Air Malaysia, di Putrajaya hari ini.

Memetik daripada Laporan World Economic Forum 2023, Fadillah berkata seseorang terdedah kepada pengambilan plastik secara tidak sengaja melalui bawaan air sebanyak lima gram seminggu.

“Kerajaan komited untuk meningkatkan kualiti air sungai dengan kerjasama kerajaan negeri dan sektor berkepentingan lain melalui langkah-langkah strategik.

"Namun, usaha-usaha kerajaan ini tidak akan berhasil sekiranya kesedaran pada peringkat komuniti tentang kepentingan memelihara sumber air masih rendah,” katanya.

Sementara itu, semasa sidang media Fadillah berkata walaupun penggunaan plastik tidak dapat dielakkan, penggunaannya perlu diimbangi agar ancaman kepada alam sekitar dapat dikurangkan.

“Jadi hasil daripada program ini, kita akan dapat mengetahui kedudukan di Malaysia melalui hasil penyelidikan yang sedang dibuat di empat sungai, apakah dasar yang dapat di bangunkan pada masa depan.

“Kita boleh kemukakan kepada kerajaan untuk kita tangani cabaran-cabaran baru dalam konteks pencemaran, khususnya mikroplastik,” katanya sambil menambah bahawa standard kualiti air minum adalah di bawah Kementerian Kesihatan dan ia akan dilihat sekiranya standard air perlu ditambah baik dan apakah skopnya.

Ketua Pengarah NAHRIM Mohd Zaki Mat Amin yang turut hadir pada majlis hari ini berkata kerja-kerja penyelidikan berkaitan pencemaran mikroplastik meliputi kerja-kerja persampelan,
pengumpulan data-data lapangan dan analisis makmal.

Rakyat M’sia guna 9 bilion plastik tiap tahun

“Lembangan sungai terpilih dalam penyelidikan ini ialah Lembangan Sungai Langat, Lembangan Sungai Kelantan, Lembangan Sungai Klang dan Lembangan Sungai Sarawak. Hasil penyelidikan mendapati purata kelimpahan mikroplastik di empat lembangan sungai tersebut adalah di antara 179.6 partikel per liter sehingga 4541.4 partikel per liter.

“Purata kelimpahan mikroplastik di setiap lembangan sungai ini dipengaruhi oleh aktiviti antropogenik seperti akitiviti industri dan domestik selain pengurusan sisa pepejal tidak terurus yang menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai,” kata beliau.

Mohd Zaki seterusnya menyatakan penemuan mikroplastik di persekitaran akuatik Malaysia secara langsung memberi gambaran bahawa ekosistem negara juga sedang diancam oleh masalah global ini dan lebih membimbangkan ialah hidupan air yang termakan microplastik dan secara tidak langsung mendedahkan manusia kepada mikroplastik melalui jaringan makan.

Di Malaysia, dianggarkan secara purata sebanyak sembilan bilion plastik digunakan oleh rakyat Malaysia setiap tahun.

Di laporkan sebelum ini pada tahun 2023, kadar kitar semula negara berada di tahap 35.38 peratus, manakala pengurusan sisa plastik buat masa ini adalah tidak terurus, menimbulkan kebimbangan berkaitan kesan pencemaran plastik kepada alam sekitar dan sungai khususnya.

- Bernama