Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Protes 'reformati', pembangkang lilit kain putih di lengan

Ahli parlimen pembangkang membantah keputusan speaker Johari Abdul dengan simbol memakai lilitan kain putih ketika hadir sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen PN Mas Ermieyati Samsudin ketika mengajukan soalan pada sesi pertanyaan Jawab Lisan pagi ini menjelaskan tindakan itu berkait Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

"Reben putih di lengan kiri, sebagai protes berlakunya 'reformati'.... spesifik merujuk kepada 49A," katanya sebelum mengajukan soalan.

Ahli parlimen pembangkang di Dewan Rakyat yang dilihat dengan ikatan lengan putih termasuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian), Ronald Kiandee (PN-Beluran), Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman).

Minggu lalu, Johari memutuskan enam bekas ahli parlimen Bersatu yang bertukar sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan mengekalkan kerusi mereka, walaupun keahlian parti mereka ditamatkan di bawah perlembagaan Bersatu.

Suhaili Abdul Rahman (Bebas–Labuan), salah seorang daripada enam ahli parlimen berkot, juga berkata "nasib mereka terletak di tangan speaker".

Dalam mewajarkan keputusannya untuk menolak cubaan penyingkiran daripada Bersatu, Johari dalam suratnya berhujah ahli parlimen berkenaan masih duduk dalam blok pembangkang, justeru tidak perlu mengembalikan kerusi itu kepada pembangkang.

Selain Suhaili, lima lagi ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) .