Tiada masalah antara AMK, Pemuda Umno - Adam Adli
Ketua Pemuda PKR (AMK), Adam Adli Abdul Halim menafikan wujud masalah dalaman antara sayap pemuda parti itu dengan Pemuda Umno.
Dia sebaliknya berkata, perbezaan pandangan dalam hal membabitkan politik adalah perkara biasa.
"Tidak ada masalah... itu (perbezaan pandangan) perkara biasalah," katanya ringkas ketika ditanya mengenai tindakan AMK dan Pemuda Umno berbalas kenyataan sebelum ini.
Semalam, Adam Adli menyifatkan Akmal gagal memahami isu berhubung kerusi enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang berpaling tadah untuk menyokong kerajaan.
Ini selepas Akmal mempersoalkan keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul tidak mengosongkan enam kerusi berkenaan.
Adam berkata Akmal sepatutnya merujuk terlebih dahulu pandangan, maklumat, dan fakta, serta pendirian bersama kerajaan perpaduan sebelum membuat kritikan.
Sementara itu, Adam Adli hari ini menghadiri program Jumpa Orang Muda (JOM) anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) Pahang, di Kuantan.
Pada program itu, seorang pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, Muhammad Nur Alif Nor Azli menggamatkan dewan ketika menjawab soalan dikemukakan Adam Adli.
Adam Adli yang juga Timbalan Menteri KBS bertanya pelajar yang hadir pada program JOM Pahang mengenai perkara akan dilakukan mereka jika menjadi perdana menteri.
Muhammad Nur Aliff dengan penuh bersemangat menjawab dia akan turunkan harga minyak yang disusuli sorokan gemuruh daripada kira-kira 1,300 hadirin.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kesedaran politik dalam kalangan generasi muda ketika ini, Adam Adli menyifatkan perkara itu sentiasa meningkat.
"Janganlah kerana kesedaran itu hanya berpihak kepada satu-satu pihak, kita anggap kesedaran itu tak wujud," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai isu tunggakan gaji pemain bola sepak di negara ini, dia memaklumkan KBS menyerahkan sepenuhnya kepada Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) untuk mencari jalan penyelesaian terbaik isu berkenaan.
"Kita di peringkat KBS tidak ada komen berkaitan isu ini kerana kita serahkan kepada FAM sepenuhnya.
"Saya fikir di masa depan jika ada ketetapan kita akan umumkan, kalau ada perbincangan kita akan umumkan.
"Buat masa sekarang kita tetapkan FAM uruskan hal ini sebaik mungkin," katanya.
Media sebelum ini melaporkan hampir semua pasukan bersaing dalam Liga M berdepan masalah tunggakan gaji pemain.
Antara pasukan itu adalah Kuala Lumpur, Sri Pahang, Negeri Sembilan, Sabah dan Kedah.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai