Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Chegubard ajak 'cabut roh reformasi dari Anwar' di Permatang Pauh

Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin, lebih dikenali sebagai Chegubard mengajak orang ramai hadir dua perhimpunan bagi menunjukkan rasa tidak puas hati kepada kerajaan.

Satu akan diadakan pada Hari Kebangsaan 31 Ogos di Permatang Pauh, Pulau Pinang manakala satu lagi akan diadakan pada Hari Malaysia 16 September di Kuala Lumpur.

"InsyaAllah Ogos 31 kita akan berada di Permatang Pauh untuk mencabut roh reformasi daripada Anwar Ibrahim dan 16 September kita akan ada 100,000 rakyat masuk ke Kuala Lumpur," katanya selaku pengerusi majlis ceramah Gelombang Selamatkan Malaysia di hadapan kira-kira 200 hadirin di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad di Gombak, Selangor malam tadi.

Untuk rekod, Anwar Ibrahim mengumumkan permulaan gerakan reformasi melalui Deklarasi Permatang Pauh yang telah dibacanya buat pertama kali pada 12 September 1998 di kediamannya di Cherok Tok Kun.

Ini selepas pemecatannya selaku timbalan kepada perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad pada 2 September 1998.

Pada 16 September tahun lalu, PN menganjurkan perhimpunan 'Selamatkan Malaysia’.

Tunjuk perasaaan itu menyaksikan lebih 1,000 orang berkumpul selama kira-kira sejam di jalan raya di depan kompleks beli belah Sogo di Kuala Lumpur - yang cukup dikenali sebagai lokasi banyak protes terhadap ahli politik dan kerajaan sebelum ini.