Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Pemilihan Bersatu: Runding jawatan tertinggi, elak bertembung - Muhyiddin

Kepimpinan tertinggi Bersatu telah melakukan rundingan menjelang pemilihan parti itu Oktober ini, satu langkah yang melibatkan Muhyiddin Yassin sebagai perunding bagi memastikan parti itu kekal bersatu.

Berucap pada Konvensyen Bersatu pagi ini, presiden parti itu turut menggesa semua ahli dan pemimpin akar umbi parti yang ingin bertanding dalam pemilihan parti akan datang supaya berunding sesama mereka terlebih dahulu.

Menurut Muhyiddin, idea itu dicetuskan semasa pemukiman parti baru-baru ini ketika dia diminta bertemu semua pemimpin tertinggi Bersatu dan memulakan perbincangan dengan mereka tentang cara mengelak pertembungan dan mencegah perpecahan dalam pemilihan.

"Mereka minta saya berperanan untuk berunding. Saya sudah bertemu hampir semua (pemimpin parti) dan berunding dengan mereka.

"Dan saya sudah dapat ilham supaya apapun jawatan penting dalam parti kita elakkan pertembungan.

"Tapi saya tak nak umum sekarang. Itu keputusan, saya fikir dalam kepimpinan tertinggi parti ada semangat muhinbah. Ada sanggup beri laluan, beri kesempatan memimpin," katanya.

Muhyiddin menyampaikan ucapan pelancarannya pada konvensyen khas itu, yang diadakan sebagai sesi menghuraikan dan menyemai idealisme dan prinsip Bersatu kepada ahli parti.

Bekas perdana menteri itu berkata adalah penting bagi Bersatu untuk tampil lebih kuat dan bersatu selepas pemilihan parti, terutamanya jika mereka mahu memenangi pilihan raya umum akan datang.

Tambah Muhyiddin, sekiranya ahli dan pemimpin bersatu, rakyat akan yakin untuk memilih parti itu menerajui kerajaan.

Muhyiddin kemudian menyeru semua ahli Bersatu menyokong barisan kepimpinan yang telah dirundingkan, yang menurutnya akan membantu mereka meyakinkan rakyat.

“Saya fikir (barisan ini) akan memberikan gambaran yang baik dan insya-Allah rakyat akan menyokong Bersatu.

“Apabila tiba masanya saya mengumumkan (keputusan itu), saya harap anda akan memberikan sokongan 100 peratus kepada saya,” katanya.

Dalam ucapannya, Muhyiddin turut menegaskan kepada ahli parti supaya mengelak bertelagah sesama sendiri berhubung jawatan.

Dia menyeru agar setiap ahli Bersatu menerima keputusan pemilihan parti dan kembali bersama untuk memainkan peranan dalam parti.

Menurut Muhyiddin, proses rundingan yang dia mainkan peranan sebagai perantara untuk jawatan tertinggi Bersatu juga boleh dicontohi di peringkat bahagian dan cawangan untuk menggalakkan perpaduan.

"Kalau boleh runding, rundinglah. Kalau tak reti runding, panggil pimpinan atas ni runding. Bukan campur tangan, bukan nafi hak bertanding. Tapi supaya hasil pemilihan ini akan beri satu hasi lebih baik.

"Nasihat saya ini penting. Harap didengar," katanya.

Bersatu akan mengadakan pemilihan parti antara 12 Okt dan 26 Okt, dengan ahli dan perwakilan parti akan memilih pemimpin di semua peringkat.