Salah fakta sejarah, buku panduan pelancongan Melaka undang kritikan
Imej Melaka sebagai negeri bersejarah dilihat tercalar apabila buku Melaka: The Guide mengandungi beberapa fakta sejarah yang salah.
Buku itu diterbitkan Melaka Tourism Promotion Board dan untuk dijadikan panduan kepada pelancong ke negeri itu.
Bagaimanapun, ia menimbulkan kekeliruan dengan sejumlah netizen membangkitkan perkara itu baru-baru ini.
Malaysiakini turut membuat semakan terhadap sejumlah kesilapan yang terkandung dalam buku tersebut.
Antara yang menarik perhatian adalah tentang kedatangan Portugis ke Melaka yang dinyatakan berlaku pada abad ke-15, walhal ia berlaku pada tahun 1511, iaitu abad ke-16.
Begitu juga dengan keterangan berkenaan Puteri Hang Li Po dihadiahkan kepada Sultan Muzaffar Shah, sedangkan hang Li Po berkahwin dengan anaknya, Sultan Mansur Shah atau dikenali sebagai Raja Abdullah.
Fakta berkenaan Tokong Poh Sang Ten juga jauh tersasar, apabila buku itu menyatakan ia dibina pada 1754, sedangkan fakta sebenar adalah pembinaan dilakukan pada 1795.
Terdapat juga kesilapan fakta berhubung tempoh penjajahan Portugis, tahun pembinaan bangunan Melaka Club, sambutan 750 tahun Melaka, tahun pembinaan Air Pancut Peringatan Ratu Victoria serta tahun kematian Saint Francis Xavier.
Kesilapan ini pada mulanya dibangkitkan oleh sejarawan warga Perancis Serge Jardin, yang mempersoalkan pihak yang bertanggungjawab terhadap buku itu.
Dia turut membangkitkan kesilapan-kesilapan tersebut dalam satu hantaran di Facebook pada 9 Julai lalu.
“Tourism Melaka, anda tidak sepatutnya anggap pelancong bodoh. Ada sesiapa yang (boleh) bertanggungjawab?” soalnya.
Mengulas kesilapan itu, pakar sejarah dari Universiti Sains Malaysia (USM) Azmi Ariffin berkata semakan pakar seharusnya dibuat sebelum buku tersebut diterbitkan.
“Buku tersebut mungkin dibuat oleh orang biasa (yang tiada pengetahuan mendalam tentang sejarah) dan kesalahan fakta tidak disemak oleh pihak pentadbiran.
“Sepatutnya (buku itu) disemak oleh pakar sejarah,” katanya kepada Malaysiakini.
Henti edar serta-merta
Dia turut berpandangan yang aspek sejarah Melaka yang ditampilkan sekarang bercampur dengan kepentingan lain, terutama dalam meningkatkan sektor pelancongan.
Walaupun ia sesuatu yang bagus, katanya lagi, penyampaian fakta sejarah perlu sahih dan tidak bersifat mitos untuk menarik pelancong.
“(Tak perlu) angkat nama-nama seperti Hang Tuah dan Hang Jebat kerana perkara itu tidak pasti.
“Itu hanya boleh dibincangkan hanya pada satu tahap sahaja, tak boleh dijadikan rumusan yang lebih meyakinkan,” katanya lagi.
Pada 9 Julai lalu, Tourism Melaka dalam kenyataan berkata edaran buku tersebut telah dihentikan serta-merta dan fakta yang terkandung di dalamnya sedang disemak semula.
"Pihak kami amat menghargai maklum balas daripada orang ramai dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan integriti maklumat yang disediakan kepada pelancong dan orang awam.
"Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua pihak," kata Tourism Melaka.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai