Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

'Kreativiti Jakim wajar dipuji, audiens bukan orang tua saja'

Persembahan khas sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Putrajaya yang menampilkan robot Transformers baru-baru ini mengundang kecaman dan kritikan beberapa pihak.

Bagaimanapun Pensyarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) UKM, Faisal Tehrani berpendapat kreativiti Jakim dalam menampilkan persembahan seumpama itu wajar dipuji.

“Harus diingat audiens pementasan tidak semestinya golongan masjid.

“Kesenian Islami bukan mesti sasarannya orang tua sahaja. Ada juga anak-anak. Ini boleh menarik minat mereka,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, ada pihak mempersoalkan persembahan robot yang didakwa tidak sesuai pada majlis sambutan Maal Hijrah yang berlamgsung di Putrajaya 7 Julai lalu.

Jakim dalam kenyataannya menjelaskan persembahan khas itu bagi memberi penekanan mengenai ‘kejadian langit dan bumi menerusi perkara-perkara saintifik dan ilimiah yang terdapat dalam metafora ayat al-Quran’.

"Al-Quran mendorong umat Islam untuk banyak mengkaji dan hal ini banyak berkait dengan penerokaan ilmu terutama dalam bidang sains, tambahan pula kita berada di zaman revolusi 4.0 @ IR4.0, dengan ledakan automasi, digital dan fizikal siber kini menguasai manusia,' kata Jakim.

Jakim berkata pergerakan tari yang dipersembahkan pula adalah mengambil pengaruh dari seni mempertahankan diri seperti silat dan disesuaikan mengikut lirik lagu.

Mengulas lanjut Faisal berkata, watak Transfomers dalam persembahan tersebut tidak menjadi kesalahan kerana tidak bertentangan dengan syarat seni Islam iaitu patuh syariah, mesej tauhid dan tidak berlebih-lebihan.

“Tidak ada apa yang salah pada persembahan tersebut. Mereka menutup aurat, tidak mengajak kepada kesesatan, ada mesej monoteisme dan tidak berlebih-lebih.

“Ia juga mendorong tingkat kognitif sesuai dengan tuntutan seni Islam,” katanya.

Faisal turut membandingkan persembahan tersebut dengan pementasan Islami pada Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu yang dilihatnya kaku apabila hanya mengulangi pementasan gambaran peristiwa Hijrah zaman Nabi Muhammad SAW.

Tambah Faisal persembahan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan kali ini memberi petanda bahawa pihak berkuasa agama sudah mula bersikap lebih kreatif.