ULASAN | Gelombang dan kemenangan kaum pandir
Pandir memang tidak boleh menyelesaikan apa-apa kerja dan masalah—daya fikirnya serba keliru. Masyarakat Melayu tradisi cukup sedar dengan benak pandir yang kita dengar dalam cerita-cerita jenaka sejak kecil dengan watak Pak Pandir.
Bahaya yang dihadapi sekarang apabila pandir bukan hanya watak perorangan. Ia sudah menjadi gejala, meliputi pemikiran politik ke segenap lapisan masyarakat.
Ia wujud dan dipupuk dari sekolah, ke universiti, kuliah-kuliah di surau dan masjid serta tersebar pula di media-media sosial. Lebih ngeri, kepandiran ada ketika dianggap sebagai kebiasaan yang wajar diterima sehingga membentuk gelombang pasang dalam pilihan raya.
Profesor Dr Syed Hussein Alatas secara bersungguh-sungguh menjelaskan masalah pandir di tengah-tengah masyarakat dalam buku Intelektual Masyarakat Membangun (bawah).
Berbelas tahun lalu saya pernah menemukan nama lain yang mencerminkan masalah sama iaitu “Mahathirisme” atau “Mahathirirologi.” Walaupun istilahnya kedengaran rumit, tapi di dalamnya tidak lain bersarang berciri-ciri kepandiran.
Selalunya usaha pandir untuk menyelesaikan sesuatu masalah telah menimbulkan masalah yang lebih kritikal. Dalam konteks kenegaraan, hal sebegini turut diperingatkan pengasas Parti Masyumi merangkap mantan Perdana Menteri kelima Indonesia, Muhammad Natsir dalam ungkapan “sambil membangun, jangan kita meroboh.”
Kerja membangun sambil meroboh ada banyak contoh. Misalkan ketika penguasa mahu memajukan industri moden, tapi diabai atau dikorbankan pula budaya atau Bahasa Kebangsaan. Pada akhirnya terlihatlah nasib Malaysia seperti di era Dr Mahathir Mohamad; industrilisasinya tidaklah setara mana, sementara bahasa Melayu puluhan tahun telah menjadi tumbal atau mangsa.
Begitu juga dalam lapangan politik sejak beberapa tahun kebelakangan. Tatkala ada pihak atau parti yang melawan rasuah, waktu sama ada pula yang dinyalakan api sentimen agama dan kaum yang sempit. Maka di dalam keputusan PRU muncullah gelombang pengundi yang membuat keputusan berasaskan sentimen sempit kaum dan agama.
Sesetengah pihak—termasuk media—menamakannya sebagai “Gelombang Hijau.” Ia merujuk kepada peralihan sokongan majoriti Melayu kepada PAS. Kerana warna rasmi PAS itu hijau, maka diberilah julukkan “Gelombang Hijau.”
Juga ketika kumpulan dalam Umno yang pernah menentang presiden Najib Razak atas alasan korupsi 1MDB, tapi mereka tidak pula menubuhkan parti yang bertujuan menegakkan cita-cita ekonomi liberal, hak asasi, masyarakat pluralistik dan memperkukuh demokrasi. Selepas meninggalkan atau dibuang Umno, mereka tetap menubuhkan parti yang menyalin Umno, seperti Bersatu.
Sudah terang lagi bersuluh bahawa politik perkauman dan agama dipilih sebagai jalan pintas oleh kaum pandir kini. Apakah masuk dek akal apabila mereka menyalahkan orang bukan Melayu manakala korupsi dilakukan pemimpin Melayu-Islam sendiri? Ini absurd dan keliru sekali!
Di sana jeritan melawan korupsi oleh pembangkang hanya bak belon helium—naik tinggi, terkadang memukau tapi kosong dan mudah pecah tak berfaedah. Ia tidak muncul daripada hati perut dan kesedaran. Segalanya sentimen semata.
Buktinya apabila diberikan kuasa kurang sepenggal, mereka tetap rakus dengan segala bentuk kebejatan pentadbiran dan culas dengan amanah. Usahkan rasuah, bahkan demokrasi sebagai teras sistem politik negara ini pun dikacip apabila darurat diisytihar dan parlimen digantung pada 2020-2021 di bawah PM Muhyiddin Yassin.
Dalam kempen PRK Sungai Bakap, sentimen perkauman dan agama yang sempit terus dimainkan untuk mengelirukan antara kebenaran dan kepalsuan. Tukang-tukang jerit pandir membayangkan Kerajaan Perpaduan pimpinan PM Anwar Ibrahim sebagai “ejen Yahudi,” “anak angkat Amerika,” “gadai hak Melayu,” “musuh Islam,” bahkan sampai digelar “dajjal.”
Di satu pihak lagi secara senyap-senyap dapat dikesan ada yang mula memainkan sentimen yang PM Anwar mahu merugikan kaum tertentu kerana melaksanakan penyasaran subsidi diesel dan tarif elektrik. Kesan ketara serangan senyap itu dapat diukur apabila kurang 50 peratus pengundi bukan Melayu yang keluar pengundi di Sungai Bakap, berbanding di Kuala Kubu Bharu dan semua PRK sebelum itu.
Pandir yang sudah membengkak tidak boleh dilawan dalam tempoh singkat. Kerajaan memang perlu tempoh masa yang lebih bagi mencantas setiap putar-belit yang cuba memperbodohkan rakyat termasuk dalam isu penyasaran subsidi dan huha-huha Blackrock.
Pun begitu, kekuatan yang sedang terbentuk dalam kerjasama PH-BN, khususnya PKR-Umno, nampak berada dalam keadaan jauh lebih serasi dan baik. Ini perkembangan positif yang perlu dipertahankan.
Memang luka kekalahan lebih menyakitkan buat PKR. Ia bukan hanya disebabkan harapan tinggi untuk merampas DUN Sungai Bakap; tapi ada latar sejarah dan psikologi, yang tahun ini merupakan tahun ke-25 sejak tercetusnya perjuangan Reformasi 1998.
PKR sudah wajar menjadi parti yang cukup dewasa untuk mengikat segenap kekuatan yang wujud sekian lama. Ini bukan parti yang disertai sehari-dua langsung boleh bertenteng di koridor kuasa.
Roh dan semangat Reformasi tidak boleh dibiarkan terhakis dibawa angin masa, terutama di kalangan anggota barunya. Meski tidak enak diulang-ulang cerita perih payah termasuk kala menghadapi PRK seperti pada tahun 2002 di Indera Kayangan, tapi keadaan sewaktu Anwar dipenjara memang jauh lebih menyakitkan. Ada aktivis dahulu yang bermalam di surau dan masjid, tidur di dalam kereta atau rumah-rumah tinggal yang berhabuk, berdebu serta mengerikan.
Fokus ke depan bukan sahaja perang-perang kecil dalam PRK, tapi perang besar iaitu PRU. Mengingati pesan saidina Ali Abi Talib dalam Nahjul Balagha, di mana pihak yang benar, yakni pengikutnya dan orang Kufah yang bercerai-berai justeru boleh dikalahkan oleh pengikut Muawiyah dan orang-orang Syam yang bersatu walau atas kebatilan.
Dalam konteks Malaysia hari ini, walaupun belum sampai ke tahap “revolusi kaum pandir” seperti kebimbangan Syed Hussein lebih 40 tahun lalu, namun gejala kepandiran tidak boleh dipandang enteng. Ia bertelur, mengeram, menetas, bertambah biak dengan sentimen sempit bangsa dan agama, selain tohmah dan fitnah—sebelum andai kita terlambat, ia boleh menciptakan pula gelombang politik sasau yang menggila sepertimana dalam PRU lalu.
HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai komuniti Jalan Telawi.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai