Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Pendapatan median Cina 29% lebih tinggi berbanding bumiputera pada 2022

PARLIMEN | Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menyatakan nisbah pendapatan bulanan isi rumah penengah antara bumiputera dan masyarakat Cina pada 2022 adalah 0.71 kepada satu.

Dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan berkata kerajaan menyasarkan nisbah itu dirapatkan menjelang tahun depan.

"Nisbah pendapatan isi rumah penengah bumiputera kepada Cina pada 2022 adalah 0.71 kepada 1, manakala nisbah isi rumah bumiputera kepada India pada 2022 adalah 0.87 kepada satu.

"Nisbah pendapatan isi rumah penengah bumiputera kepada Cina disasarkan kan meningkat ke 0.88 kepada satu menjelang 2025," katanya.

Dia bagaimanapun tidak menyatakan sasaran nisbah antara bumiputera-India atau nisbah antara isi rumah Cina dan India.

Menurut Jabatan Perangkaan, pendapatan isi rumah penengah negara adalah RM6,338 sebulan pada 2022.

Sementara itu, Rafizi membangkitkan arahan kerajaan agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memainkan peranan lebih proaktif dalam meningkatkan ekonomi bumiputera, terutama dengan menyokong segmen kelas pertengahan bumiputera.

Menurutnya, strategi utama yang disertakan dalam dasar adalah meningkatkan mobilisasi modal menerusi peningkatan penglibatan sektor swasta.

Pendekatan ini bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap dana kerajaan dengan menggunakannya bagi menarik pelaburan swasta yang dapat memajukan perniagaan bumiputera.

Ia termasuklah memberdaya usahawan bumiputera untuk menyertai rantaian bekalan antarabangsa menerusi usaha sama dengan syarikat multinasional.

"...(Maka) apabila mereka (syarikat multinasional) datang ke sini dengan pelaburan asing yang besar, mereka turut melibatkan usahawan bumiputera dalam membina sektor sokongan untuk industri mereka," katanya lagi.

Rafizi berkata perkara ini dibincangkan ketika Kongres Ekonomi Bumiputera pada Februari lalu, dengan hasil dan dapatkan sedang dikumpulkan pada masa ini.

Dia juga berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan mengumumkan satu dokumen terikat yang baru, berhubung program khusus untuk memberdaya golongan bumiputera.

[Baca berita asal]