'Kami tak angkat sumpah depan presiden, tapi depan speaker'
PARLIMEN | Kedudukan enam bekas ahli parlimen Bersatu yang kini menjadi penyokong kerajaan akan ditentukan oleh Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul.
Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman, berkata dia bersama lima lagi ahli parlimen - yang sebelum ini menjadi wakil Bersatu - kini berstatus bebas hasil langkah diambil PN.
"Status kami sebagai ahli parlimen bebas adalah disebabkan PN.
"Di mana kami duduk, insya-Allah Tan Sri Speaker (Johari) yang akan tentukan.
"Adalah jelas kami tidak mengangkat sumpah di depan presiden (Bersatu), tapi di depan speaker," katanya di parlimen hari ini.
Selain Suhaili lima lagi ahli parlimen yang kini menjadi pendukung kerajaan perpaduan ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Sebelum ini Bersatu meminda perlembagaan - yang kemudian diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan - bagi menyingkirkan wakil rakyat parti itu yang berpaling tadah.
Ketika Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan menerima permohonan Bersatu agar kerusi Nenggiri (turut dimenangi Mohd Azizi) dikosongkan, usaha yang sama parti itu di parlimen gagal mendapat keputusan sama.
Menjawab permohonan Bersatu, Johari berkata, peraturan parti itu yang membatalkan keanggotaan enam ahli parlimen terbabit bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Johari juga berpendapat ia bercanggah dengan peraturan parlimen yang menjamin kebebasan seseorang ahlinya untuk bersuara, berbahas dan mengundi.
Tak boleh sertai parti lain
Suhaili hari ini menjelaskan enam ahli parlimen itu masih duduk di "kerusi biasa" mereka dan tidak berasa janggal sama sekali untuk bersama dengan wakil rakyat dari Bersatu.
“Mungkin ia menjadi masalah besar bagi mereka, tetapi bagi kami, tidak.
“Kami berada di Dewan Rakyat ini kerana rakyat mengundi kami, bukan kerana presiden Bersatu.
“Apa yang kita lebih utamakan? Mereka (ahli parlimen Bersatu yang lain) atau pengundi? Sudah tentu ia adalah kawasan yang kita wakili,” katanya.
Sementara itu, Suhaili menegaskan keenam-enam mereka akan terus berkhidmat di kawasan masing-masing sebagai ahli parlimen bebas.
Katanya peruntukan 49(A) Perlembagaan Persekutuan adalah jelas iaitu mereka tidak boleh menyertai parti lain kerana ia akan menyebabkan kedudukan mereka terbatal.
“Kami memperjuangkan peruntukan untuk kami berkhidmat kepada rakyat dan membantu mereka yang ada di kawasan kami. Itu sahaja,” tambahnya.
Ditanya sama ada ahli parlimen pembangkang lain akan mengikut jejak mereka untuk mengisytiharkan sokongan kepada Anwar dan kerajaan, Suhaili berkata dia tidak boleh mengulas kerana enggan menyebabkan kekecohan di Dewan Rakyat.
"Mereka jadi ahli pembangkang yang tak ada peruntukan, meraung-raung dan menjerit-jerit minta peruntukan (tetapi belum dapat), apa kata ikut kami dulu.
"Kita dah sebut mahu peruntukan, dah terang dan jelas," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai