Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Hassan Karim gesa CEO HRD Corp digantung kerja

PARLIMEN | Wakil rakyat PKR Hassan Karim menggesa kerajaan menggantung jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp).

Ketika berbahas di Dewan Rakyat, ahli parlimen Pasir Gudang itu menggesa Menteri Sumber Manusia Steven Sim untuk bertindak segera.

"Gantung kerja atau tamatkan pihak pengurusan iaitu CEO berkaitan; sebab beliau memegang dua jawatan: berada dalam lembaga pengarah dan panel pelaburan," katanya.

Ketua eksekutif HRD Corp sekarang ialah Shahul Hamid Shaik Dawood (gambar bawah).

HRD Corp mendapat perhatian berikutan sorotan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2/2024.

Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Mohd Radzi mengesyorkan Kementerian Sumber Manusia merujuk entiti kerajaan kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan selepas gagal mengauditnya.

Secara berasingan, Jawatankuasa Kira-kira Awam Parlimen mendedahkan HRD Corp telah menggunakan RM3.77 bilion (levi yang dikutip daripada majikan untuk program pembangunan latihan) untuk pelbagai pelaburan yang tidak selari dengan tujuan asalnya.

Secara berasingan, Jawatankuasa Kira-kira Awam Parlimen mendedahkan HRD Corp telah menggunakan RM3.77 bilion (levi yang dikutip daripada majikan bagi program pembangunan latihan) untuk pelbagai pelaburan yang tidak selari dengan tujuan asalnya.

Mengulas lanjut, Hassan turut mencadangkan Kementerian Sumber Manusia membuat laporan mengenai perkara itu kepada polis.

Walaupun kementerian telah melaporkan kes itu kepada SPRM, Hassan berkata laporan Peguam Negara mengesyorkan merujuk perkara itu kepada "agensi penguatkuasaan yang berkaitan," yang diterjemahkan kepada kedua-dua SPRM dan polis.

"Dah lapor SPRM okay, boleh, tapi kena juga lapor pada polis. Sebab daripada cadangan ketua audit negara cadangan minta supaya penyelewengan dilaporkan pada yang berkuat kuasa.

"Dia tak sebut SPRM saja. Penguatkuasa undang-undnag ada dua, SPRM dan polis. Jadi saya nampak, perlu dilihat elemen pecah amanah jenayah," katanya.

Pada 5 Julai lalu, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Khairul Dzaimee Daud dan Shahul menyerahkan laporan pengurusan HRD Corp kepada SPRM.

Sementara itu, Hassan berkata pihak berkuasa mesti menyiasat pendedahan laporan ketua audit negara itu kerana ia memberi kesan kepada orang ramai kerana pihak yang bertanggungjawab tidak menjalankan tugas mereka dengan jujur.

"Punah ranah wang rakyat, rakyat terpaksa berkorban, rakyat ikat perut, tapi kita yang (diberi) amanah ini tak laksanakan tugasnya.

"Dengan jawatan yang besar, elaun yang besar, rosakkan wang negara," kata Hassan.

Tidak lama selepas Hassan menamatkan ucapan perbahasannya, Timbalan Speaker Ramli Md Nor ikut menyuarakan sentimen ahli parlimen itu.

“You got a point there. patut lapor pada PDRM, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial punya kerja,” katanya.

Sementara itu, anggota PAC yang juga ahli parlimen Bayan Bary Sim Tze Tzin meminta laporan PAC mengenai HRD Corp turut dibahaskan dalam sidang parlimen.