Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Wanita dakwa ditumbuk artis lelaki: Polis sahkan terima laporan

Polis mengesahkan menerima laporan mengenai seorang wanita warga tempatan yang mendakwa dipukul teman lelakinya yang juga seorang artis pada 6.53 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Ja'afar berkata dalam kejadian pada 3.38 pagi hari sama laporan dibuat, mangsa bukan sahaja dimarahi artis berusia 37 tahun itu malah turut ditumbuk di bahagian mata kiri serta dipukul badan.

“Siasatan awal mendapati mangsa berusia 25 tahun keluar bersama kakaknya sebelum dihubungi dan dimarahi suspek akibat perselisihan faham.

"Kedua-duanya bertemu di Ara Damansara dan wanita itu dipukul di dalam kereta milik suspek. Mereka telah menjalin hubungan selama enam bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrulnizam berkata polis akan meminta perintah untuk siasat (OTI) daripada Pejabat Pendakwa Raya bagi memanggil suspek memberi keterangan dan membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Mereka yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222,” katanya.

- Bernama