Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

PH kalah naratif, kata KM Pulau Pinang

PRK SG BAKAP | Dalam mengakui kekalahan Pakatan Harapan (PH), Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata gabungan itu telah kalah dalam perang naratif menentang Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Bakap.

Chow seterusnya berkata bahawa kekalahan PH kali ini, dan kemerosotan undi daripada pengundi Cina, adalah disebabkan oleh isu nasional.

“Ia tiada kena mengena dengan (masalah) calon. Ia adalah isu nasional, subsidi, persepsi inflasi, kos sara hidup, dan beban rakyat perlu hadapi semua ini…

"Mungkin kita kalah naratif, walaupun ada usaha, tetapi naratif, ini tidak menghasilkan keputusan (yang kita mahu)," katanya kepada pemberita di Pusat Peranginan Golf Bukit Jawi di Pulau Pinang hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PN melalui calon gabungannya Abidin Ismail berjaya mengekalkan kerusi DUN Sungai Bakap dengan majoriti lebih besar iaitu 4,267 undi, berbanding 1,563 pada pilihan raya negeri tahun lalu.

Mengulas lanjut, Chow berkata kredibiliti calon PH Joohari Arifin bukanlah faktor kekalahan dan berkata keputusan itu menunjukkan ia melangkaui calon kerana mereka telah bekerja keras sepanjang tempoh berkempen.

Dia berkata rakyat di Sungai Bakap masih kecewa dengan pelbagai keputusan yang dibuat kerajaan dan kekalahan itu mencerminkan sentimen dominan yang menyelubungi kawasan itu sepanjang tempoh berkempen.

“Saya fikir ia melangkaui individu yang bekerja keras dan seluruh jentera kempen bersamanya. Jadi, saya rasa ini bukan sebab dia,” tambahnya.

Soalan itu dikemukakan susulan dakwaan bahawa Joohari dianggap "tidak mesra" ketika berinteraksi dengan pengundi di Sungai Bakap sepanjang tempoh berkempen selama dua minggu.

Dalam temu bual eksklusif dengan Malaysiakini, bekas pendidik itu menafikan dakwaan mengatakan bahawa dia mempunyai pelbagai pengalaman dalam berurusan dengan orang ramai, khususnya di Sungai Bakap.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa kekalahan gabugan itu disebabkan peratusan keluar mengundi yang rendah di kalangan bukan Melayu.

Mengulas di X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter, Rafizi, berkata peratusan keluar mengundi Melayu ialah 70 peratus, manakala hanya 47 peratus pengundi Cina dan 58 peratus pengundi India keluar mengundi untuk PRK Sungai Bakap.

"Dengan jumlah keluar mengundi yang sangat berbeza di antara pengundi Melayu dan bukan Melayu, kerusi Sg Bakap menjadi kerusi majoriti besar Melayu (saluran-saluran bertukar dari Melayu-Bukan Melayu 55:45 kepada 75:25).

"Walaupun ada sedikit peralihan undi Melayu, keputusannya banyak dipengaruhi jumlah pengundi yang keluar," tambah Rafizi.

Awal minggu ini, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata, fokus terakhir kempen itu adalah untuk memikat orang Melayu atas pagar kerana dia mendakwa sokongan orang Melayu terhadap PN telah merosot daripada 75 peratus kepada 48 peratus.

Menteri itu sebelum ini mendakwa kempen pembangkang di Sungai Bakap adalah sia-sia kerana PN lebih menumpukan kepada memainkan isu-isu nasional yang sedang berlaku seperti rasionalisasi subsidi, kos sara hidup dan penjualan pegangan Malaysian Airports Holding Berhad (MAHB) kepada syarikat yang dikaitkan dengan Blackrock.

Rafizi berkata, PH menumpukan kempennya kepada isu-isu tempatan seperti jurang perbezaan air, serangan lalat dan jalan usang di Sungai Bakap.