Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

NGO bantah projek pembangunan khas Pangkor, mungkin anjur protes

Penduduk Pulau Pangkor hari ini menyuarakan bantahan keras terhadap satu pembangunan rancangan kawasan khas (RKK) yang akan dilaksanakan di pulau itu oleh kerajaan Perak dan persekutuan.

NGO Jawatankuasa Kemajuan Pembangunan Pulau Pangkor - yang mewakili nelayan dan masyarakat di pulau itu - menegaskan projek itu tidak akan memberi manfaat kepada penduduk setempat, malah menjejaskan masa depan mereka.

Membangkitkan tiada rundingan dibuat sebelum ini dengan penduduk dan pemain industri berkaitan, NGO itu merancang untuk membuat protes jalanan jika kerajan tidak segera menghentikan projek tersebut.

Pengerusinya Beh Hong Gi berkata, penambakan tanah seluas 7.75 hektar - yang merupakan bahagian Utama dalam cadangan projek itu - akan mengakibatkan pengusiran besar-besaran penduduk tempatan, yang telah tinggal di situ selama lebih empat generasi.

"Tujuan (pengusiran dan tambak) di pulau ini adalah untuk mewujudkan tanah baru di bagi tujuan pembangunan pusat beli-belah, zon bebas cukai dan tarikan pelancongan lain yang langsung tidak mampan dan yang berisiko menjadi projek gajah putih.

"Kawasan-kawasan tersebut, yang sekian lama menjadi kampung halaman anak jati Pangkor, juga merupakan pusat aktiviti nelayan dan pemprosesan hasil laut yang merupakan ciri unik Pulau Pangkor. Pembangunan demikian tidak akan beri apa-apa faedah yang mampan kepada penduduk.

"Walaupun kami hargai usaha kerajaan untuk membawa pembangunan ke Pulau Pangkor demi masa depan penduduknya, cadangan-cadangan dalam dokumen RKK (rancangan kawasan khas) Pulau Pangkor bukannya akan membantu warga tempatan tetapi akan menjejaskan masa depan mereka.

"Ini sekaligus memadam identiti Pulau Pangkor yang telah menjadi kebanggaan anak jati Pangkor," katanya dalam sidang media di Dewan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) Kuala Lumpur hari ini.

Beh, 42, turut menegaskan projek itu akan menyebabkan kemusnahan alam sekitar berikutan pengkelasan semula 644.6 hektar hutan simpan kekal untuk tujuan pembangunan.

"Ternyata pelan yang dicadangkan oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri adalah pelan yang dirangka tanpa pertimbangan yang mencukupi terhadap pelbagai isu ekonomi dan alam sekitar," katanya.

Dia berkata penduduk dan penggiat industri tempatan tidak tahu-menahu memandangkan kerajaan tidak membuat sesi libat urus untuk projek mega bernilai RM799 juta itu.

Kenapa kacau Pulau Pangkor?

Mohamad Shamsul Izwan Sulaiman, yang mewakili industri perikanan dan pelancongan Pangkor, berkongsi sentimen yang sama.

"Mesti ada perbincangan dua hala. Tidak ada perbincangan untuk pemain industri berhubung projek ini. Tak ada langsung penglibatan penduduk tempatan," katanya.

Shamsul, 42, juga membidas kerajaan kerana mengganggu mata pencarian nelayan.

"Kenapa mereka perlu kacau kawasan pekan Pangkor? Ia kawasan penduduk tempatan dan industri perikanan. Mereka sepatutnya menaik taraf perkampungan nelayan dan jeti untuk menjadikannya lebih menarik kepada pengunjung."

Jejaskan perniagaan, pekerjaan tempatan

Sementara timbalan pengerusi NGO itu, Yvonne Beh Qiu Luan melahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan lebih 40 rumah kedai dan 18 kemudahan pemprosesan produk marin akan dirobohkan jika projek itu diteruskan.

Katanya, ia juga akan menjejaskan 50 peratus usahawan ikan bilis di pulau itu dan seluruh Perak.

"Pelaksanaan pertama untuk projek ini adalah tahun ini dan paling lewat 2026. Keadaan kami sangat kritikal sekarang.

"Sejak 1950-an, nenek moyang saya mula menangkap ikan bilis dan menjadi pembekal di semanjung. Tapi, dengan RKK ni, sayalah generasi terakhir," katanya lagi.

Tambahnya, NGO itu akan mengadakan protes jika pihak berkuasa tidak memberi maklum balas terhadap bantahan mereka.

“Pengerusi kami (Hong Gi) bertemu Menteri Besar Perak Saarani Mohamad pada 10 Jun dan telah menyerahkan memorandum untuk membantah projek itu...tetapi kami masih belum menerima maklum balas.

“Saya juga telah berjumpa dengan Sandrea Ng (pengerusi jawatankuasa perumahan dan kerajaan tempatan Perak) untuk menyerahkan memorandum itu, tetapi kami tidak menerima sebarang maklum balas daripadanya sehingga hari ini," katanya lagi.

Malaysiakini telah menghubungi Saarani dan Ng untuk mendapatkan respons mereka.