Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

'Haram' - gerakan siswa Sabah, Semenanjung akan bawa tuntutan ke parlimen

Lima kumpulan mahasiswa membentuk satu gerakan baru bagi memperjuangkan isu-isu pelajar dan orang ramai yang dipanggil Pertubuhan Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia atau singkatannya Haram.

Jurucakap pergerakan itu, Muhammad Danial Qayyum Mohammad Akashah berkata inisiatif ini merapatkan kerjasama siswa Semenanjung dan Sabah.

"Faktor utama penubuhan HARAM adalah kerana tiada sinergi di antara gerakan mahasiwa kini yang menyebabkan isu-isu yang disuarakan tidak mencapai objektif. Namun begitu, kami percaya bahawa suara gerakan mahasiswa masih lagi ampuh dan akan sentiasa diperlukan oleh rakyat.

"Oleh itu, HARAM berperanan sebagai pertubuhan yang menghubungkan gerakan mahasiswa di Semenanjung dan Sabah,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.

Haram terdiri diasaskan lima kumpulan; Suara Mahasiswa Universiti Malaya Sabah (UMS), Suara Siswa Universiti Malaya, Demokratik Siswa, Demokrat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kongres Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Dengan penubuhan Haram, Danial berkata mereka sudah bersedia untuk bergerak, termasuk menyerahkan memorandum dan bertemu ahli parlimen semasa Dewan Rakyat sedang bersidang.

Katanya, kumpulan itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada isu mahasiswa, seperti bekalan air universiti tetapi juga isu gelandangan dan orang tanpa dokumen kerakyatan di negara ini.

Walaupun kebanyakan ahlinya mahasiswa dan graduan, Danial menjelaskan Haram juga akan menangani kebimbangan orang ramai - termasuk isu kekurangan pendidikan, kehilangan tempat tinggal dan orang tanpa dokumen kerakyatan.

Gambar fail, protes siswa UMS isu bekalan air di kampus.

Wakil Suara Mahasiswa UMS Hamdin Nordin berkata gerakan itu terbuka kepada kritikan dan dialog.

"Yang menentang kita raikan. Kita terbuka setiap kritikan, dialog. Haram sentiasa terbuka,” katanya.

Sebelum sidang media itu, Hamdin berkata kumpulan siswa berkenaan telah menganjurkan forum membincangkan perhimpunan #KamiMahuAirSabah pada 14 Jun, yang menyaksikan sembilan orang tditahan.

Hamdin mendakwa Timbalan Ketua Menteri Sabah Shahelmey Yahya (gambar bawah) bukan saja tidak menangani tuntutan mengenai isu air sebaliknya menyindir perhimpunan tersebut.

"Beliau mengatakan ‘mari mari sini, ini semua lakonan’. Bagaimana kami mahu menghormat pemimpin yang kurang ajar dengan rakyatnya?

"Ketika mahukan undi, andalah orang yang paling sopan santun, jumpa masuk ke setiap kampung.

"Tetapi ketika sudah ada dia atas pemerintahan, dan mahasiswa dan rakyat mahu berjumpa anda, anda katakan kami berlakon. Jadi inilah masalah orang politik," katanya.

Hamdin juga menuduh kerajaan negeri menyalahkan isu air kepada setinggan yang tinggal berhampiran universiti.

Selepas bertemu dengan wakil Jabatan Air Sabah (SWD), Hamdin berkata masalah air di negeri ini berpunca daripada kekurangan bekalan.

Wakil itu memberitahunya memandangkan 18 juta liter sehari (MLD) air diselewengkan, jabatan itu hanya mampu membekalkan 80 MLD apabila daerah Sepanggar yang menempatkan kampus UMS dengan keperluan air 200 MLD.

"Ini bukan salah penduduk setinggan. Negeri Sabah tak ada air, jangan salahkan orang lain untuk menutup isu sebenar," dakwanya.

UMS perlukan audit

Oleh itu, Hamdin dan rakan-rakannya menggesa laporan audit di UMS untuk melihat ke mana peruntukan wang dibelanjakan untuk menyelesaikan masalah air dan apakah kemajuan setakat ini.

Menyuarakan sentimen sama, wakil Demokrat UKM Brendon Gan menuntut jawapan diberikan kepada mahasiswa UMS yang membayar yuran pengajian dan pembayar cukai.

"Saya tidak menafikan usaha yang diambil kerajaan selama ini, namun apakah perkembangan perkara tersebut?

"Rakyat yang mengundi menunggu. Mereka bayar cukai, we are waiting for an answer.

"Kenapa tidak tubuhkan satu badan untuk audit kan," soalnya.

Pada Januari, Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abdul Kadir memperuntukkan RM2 juta untuk menangani isu air yang berlarutan di UMS berikutan bantahan pelajar.