Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Perubahan iklim: Malap kerlipan kunang-kunang amaran kemusnahan alam

Artikel ini adalah bersempena dengan Hari Kelip-kelip Sedunia yang disambut pada hujung minggu pertama setiap Julai.


Umpama kerlipan lampu, cahaya daripada kelip-kelip menghiasi panorama malam di hutan paya bakau seperti Kampung Kuantan di Selangor, namun, sejak beberapa tahun lalu kerlipan itu dilaporkan semakin “malap”.

Menurut pakar, jumlah serangga itu di hutan paya bakau negara ini semakin merosot akibat kemusnahan habitat, yang antaranya disebabkan oleh pemanasan global, dan kata mereka, situasi itu juga adalah petanda kelangsungan hidup manusia yang mendiami kawasan sekitar turut terancam.

“Sebelum ini, habitat serangga itu diancam oleh kepesatan pembangunan yang menyumbang kepada pencemaran alam, dan kini mereka diancam oleh pemanasan global serta perubahan iklim.

(Pakar kunang-kunang Dr Wan Faridah Akmal Jusoh bercakap pada siaran TEDWomen 2023.)

“Pemanasan global menyebabkan kenaikan paras air laut, dan seterusnya menjejaskan biodiversiti yang hidup di paya bakau termasuk kelip-kelip, bermakna kehidupan penduduk di kawasan pantai juga terancam,” jelas Dr Wan Faridah Akmal Jusoh kepada Bernama.

Memetik satu kajian oleh Saintilan et. al. 2020, Pensyarah Kanan (Biodiversiti dan Pemuliharaan), Pusat Pengajian Sains, Monash University Malaysia itu berkata kebanyakan kawasan paya bakau di dunia ini, termasuk Malaysia, bakal tenggelam menjelang 2050, akibat kenaikan paras air laut.

Empat spesis rentan

Turut dikenali sebagai kunang-kunang atau nama saintifiknya Lampyridae, serangga ini adalah daripada keluarga kumbang bersayap Coleoptera, dan di Malaysia, terdapat sekurang-kurangnya 60 spesies yang telah dikenal pasti, dengan 10 daripadanya ditemukan di kawasan paya bakau.

Menurut Wan Faridah, antara ciri utama yang membezakan kelip-kelip daratan dan di paya bakau adalah kelip-kelip daratan terbang secara individu sementara yang mendiami paya bakau pula terbang secara berkumpulan.

“Biasanya terdapat kira-kira dua hingga tiga spesies kelip-kelip yang membiak di sesebuah kawasan paya bakau, dan serangga ini memerlukan keadaan paras air serta suhu yang sesuai bagi memastikan kemandirian spesies masing-masing,” jelasnya yang mula melakukan kajian tentang serangga itu pada 2006.

Bagaimanapun katanya, peningkatan paras air laut mengubah aspek itu, sekali gus mengancam pembiakan kelip-kelip pada fasa metamorfosis, iaitu dari peringkat telur, larva, pupa hingga dewasa, kerana serangga ini tidak mampu berenang ataupun hidup di dalam air.

Mengulas lanjut, beliau berkata daripada 10 spesies yang ditemukan di hutan bakau itu, empat telah dikategorikan sebagai spesies terancam dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemulihan Alam (IUCN).

Empat spesies berstatus rentan berkenaan adalah kelip-kelip Comtesse (Pteroptyx bearni), kelip-kelip sayap bengkok serentak (Pteroptyx malaccae), kelip-kelip serentak sempurna (Pteroptyx tener) dan kelip-kelip sayap bengkok tidak serentak (Pteroptyx valida).

Kurang perhatian

Mengulas lanjut, Wan Faridah berkata di sebalik potensi kelip-kelip sebagai antara produk ekopelancongan di negara ini, tidak banyak kajian dijalankan tentang serangga itu, sekali gus menyukarkan usaha pemuliharaan.

“Saya pernah jalankan kajian di Singapura dan berjaya menemukan spesies baharu pada 2021 yang kemudian saya namakan sebagai Luciola singapura. Serangga itu dikategorikan sebagai CR, iaitu Terancam Teruk oleh Senarai Merah Singapura.

“Akan tetapi, di Malaysia, amat kurang kajian tentang kelip-kelip dijalankan, dan kalau ada penemuan sekalipun kita sukar mengesahkan sama ada itu spesies baharu dalam dunia sains atau sekadar salinan pendua,” ujarnya.

Sambung beliau, usaha mengiktiraf penemuan baharu mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun selain memerlukan dana penyelidikan dan kemudahan.

"Dalam sesetengah projek penyelidikan, khususnya dari segi taksonomi atau pengelasan, saya perlu melawat muzium sejarah semula jadi di Belanda, London dan Perancis untuk membandingkan spesimen rujukan kelip-kelip yang telah ditemukan dan dikumpul oleh para pengkaji terdahulu, terutamanya ketika zaman kolonialisme.

"Ketika kuasa asing menjajah negara ini ratusan tahun dulu, mereka bukan hanya membawa pulang kekayaan negara kita ke tempat mereka, tetapi juga spesimen biodiversiti tempatan,” tambah beliau.

Menurut Wan Faridah, bagi menyokong aktiviti ekonomi mampan, dan pada masa sama menjamin kelestarian biodiversiti, beliau berserta beberapa pihak lain sedang menjalankan kajian tentang jenis atau tahap pencahayaan yang sesuai untuk membantu melestarikan kelip-kelip.

"Kita memahami bahawa persekitaran yang gelap pada waktu malam diperlukan bagi kelangsungan hidup kelip-kelip, tetapi keperluan manusia untuk pencahayaan juga tidak boleh diabaikan, terutamanya dari sudut keselamatan.

"Kajian ini diharapkan dapat membantu manusia hidup secara harmoni bersama-sama hidupan lain," katanya.

Bersempena dengan Hari Kelip-kelip Sedunia yang disambut pada setiap hujung minggu pertama Julai, Wan Faridah meluahkan harapannya untuk melihat kelip-kelip dapat terus hidup, seiring dengan pembangunan yang lestari di dunia ini.

- Bernama