Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

ULASAN | Tuah Abidin nampak di ceramah, tuah Joohari siapa yang tahu

PRK SG BAKAP | Pada hari terakhir berkempen sebelum waktu 'perlawanan sebenar' tiba, menebak keputusan esok tidak semudah melayan perlawanan bola sepak di antara pasukan pilihan pimpinan PH dan PN di Taman Pekatra baru-baru ini.

Pilihan raya tidak ditentukan oleh siapa menang di atas padang atau siapa yang cemerlang di luar padang. Namun tidak boleh dinafikan usaha dan sokongan itulah yang akan menentukan tuah.

Sepanjang kira-kira dua minggu kempen berlangsung masih agak sukar untuk menilai tuah siapa yang akan bertakhta esok, sama ada calon PN Abidin Ismail atau lawannya yang mewakili PH, Joohari Ariffin.

Sungai Bakap tidak memperlihatkan dengan jelas siapakah akan muncul juara petang esok, tetapi perlu diakui, terdapat beberapa petunjuk yang mungkin dapat memberi gambaran awal.

Pemerhatian Malaysiakini mendapati naratif kempen dibawa jentera PN dilihat lebih laku apatah lagi dengan kelebihan banyak bola tanggung daripada PH yang boleh dijadikan modal serangan.

Naratif kempen yang ‘merakyat’ sudah tentu lebih meriah dijadikan umpan meraih sokongan politik rakyat kebanyakan, berbanding naratif kempen yang lebih kritis atau kritikal.

Isu-isu seperti rasionalisasi subsidi diesel, kenaikan kos sara hidup, kegagalan pentadbiran kerajaan, prestasi perdana menteri dan anggota kabinet, keperluan memperkuatkan suara pembangkang serta janji-janji lampau yang mustahil tertunai dalam keadaan semasa pastinya lebih mudah dijaja di pentas ceramah pembangkang.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dalam ceramah grand finale di Taman Widuri, malam tadi antara lain mendakwa prestasi Perdana Menteri Anwar Ibrahim sudah dinilai.

“Hampir dua tahun Anwar memimpin negara sebagai perdana menteri, sudah pun dinilai. Kita di Sungai Bakap menilai, seluruh negara menilai, pakar-pakar antarabangsa menilai.

“Penilaian dari sudut ekonomi sebagai contoh mereka berkata bahawa negara kita hari ini semakin hari semakin merosot, bukan semakin hari semakin meningkat naik,” katanya di hadapan ribuan penyokong yang hadir.

Meskipun ia mungkin tidak menggambarkan realiti sebenar, namun semua itu sesuatu yang dekat dengan masyarakat. Justeru naratif sedemikian adalah pilihan mudah dalam seni politik dan natijahnya dapat mengalirkan mengolah sentimen berbaur pembelaan kepada rakyat.

Di pihak parti kerajaan perpaduan pula, kempen mereka untuk melawan naratif PN dilihat menjadi kerja sukar. Hal itu kerana langkah tidak popular diambil kerajaan sukar dihadam dengan hati terbuka berdasarkan situasi di kawasan itu.

Jentera PH-BN terpaksa bekerja keras bukan saja untuk memberi penjelasan sebaliknya untuk memastikan kefahaman dan keterbukaan pengundi menerima setiap langkah diambil kerajaan dalam situasi semasa negara.

Pendengar dari luar kawasan

PN menganjurkan ceramah mega atau grand finale pada malam tadi, dan pengamatan Malaysiakini mendapati kehadiran penyokong PN sangat memberangsangkan seolah-olah ia adalah acara kemuncak kempen PRU.

Puluhan gerai didirikan di kiri kanan jalan, manakala orang ramai terpaksa meletakkan kenderaan sejauh dua kilometer dari khemah utama ceramah.

Pengisian ceramah pula menekankan isu penderitaan rakyat menghadapi kos sara hidup. Pada akhirnya program berkenaan berjaya mengumpul derma - yang sempat dikira - berjumlah lebih RM12,000.

Kalau kehadiran di program ceramah semalam menjadi kayu ukur, Abidin sudah menang. Tuahnya Abang Abidin jelas ada di situ.

Namun ia tidaklah semudah mengira batang tubuh hadirin ceramah. Beberapa orang yang sempat disapa pasukan Malaysiakini mendapati kemeriahan itu turut disumbang oleh kehadiran penyokong dari luar kawasan Sungai Bakap.

Memang menjadi rahsia umum bahawa penyokong PAS selalu ghairah pada program ceramah mega, terutamanya apabila ia turut menampilkan presiden mereka Abdul Hadi Awang, dan Pengarah Pilihan Raya PN Muhammad Sanusi Md Nor.

Aura dibawa tokoh-tokoh itu sedikit sebanyak memberi dampak sokongan moral yang bakal diterjemah pada kertas undi esok.

Bagi segmen pengundi kaum Cina dan India, dalam tempoh kempen di Sungai Bakap kali ini, ia wajar menjadi kerisauan buat PH memandangkan sikap mereka yang tidak menonjolkan sokongan jelas.

Malah sepanjang tinjauan Malaysiakini menemukan pandangan mereka yang mula tidak selesa dengan kerajaan atau mengambil pendirian untuk enggan keluar mengundi.

Namun keadaan itu mungkin hanyalah kes-kes terpencil memandangkan sebahagian besar mereka adalah deposit tetap kepada parti-parti PH khususnya DAP.

Tak semestinya tolak PH

Pun begitu terdapat isu yang membelenggu kempen PH kepada pengundi Tionghua. Misalnya apabila timbul khabar angin berlaku pergeseran di antara Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng.

Selain itu kempen melibatkan pimpinan utama DAP juga dilihat perlahan di Sungai Bakap, melainkan pimpinan negeri yang sering turun padang termasuk Chow yang sering mengisi slot ceramah dalam usaha melontarkan penjelasan isu-isu setempat.

Kehadiran golongan pengundi Cina ke program ceramah pula agak suram, namun ia bukanlah semestinya petanda mereka menolak kempen daripada parti kerajaan.

Ada kemungkinan juga mereka sebenarnya sudah membuat keputusan lebih awal tanpa perlukan penjelasan lanjut melalui kempen.

Sebagai calon di pihak kerajaan, aspek manifesto memberi markah lebih kepada Cikgu Joohari berbanding lawannya.

Banyak perkara yang ditawarkannya dilihat terjamin untuk dilaksanakan. Malah, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi sudah menyatakan komitmen bagi mewujudkan pusat warga emas (Pawe) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil di kawasan itu.

Pengumuman presiden Umno itu barangkali boleh dianggap sebagai gula-gula pilihan raya, tetapi pada masa sama ia merupakan agenda realistik berdasarkan keperluan tempatan.

Sebaliknya persembahan manifesto Abang Abidin kurang meyakinan, tetapi sebenarnya ia bersesuaianlah kerana statusnya sebagai calon blok pembangkang.

Dalam soal ini Joohari lebih bertuah sekiranya perbandingan manifesto dijadikan penanda aras khususnya bagi golongan berfikiran kritikal dan pengundi atas pagar.

Sementara itu dua faktor penentu utama dalam persaingan di antara Abang Abidin dan Cikgu Joohari adalah undi anak muda dan penyokong atau ahli Umno.

Perlukan sokongan ahli Umno

Keterlibatan anak muda sama ada ketika acara kempen atau ceramah-ceramah berlangsung masih menunjukkan trend sokongan mereka berpihak kepada PN.

Namun arus sokongan pengundi antara 18 tahun ke 25 tahun terhadap PN tidak memperlihatkan semangat yang kuat sepertimana pernah dizahirkan dalam PRU ke-15 atau pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Ketika ini kelihatan sudah ada ruang dan peluang untuk jentera PH-BN menyantuni golongan muda walaupun diakui masih sukar untuk memecah tembok yang dibina PN.

Sayogia boleh dikatakan, ruang dan peluang sedemikian adalah satu kejayaan kecil bagi PH meletakkan sedikit harapan tambahan.

Pada akhirnya harapan untuk calon PH menjuarai bilangan kertas undi banyak bergantung kepada sejauh mana sokongan pendukung akar umbi Umno yang mungkin kembali menyokong kerajaan.

Daripada jumlah sekitar 5,800 ahli Umno di Sungai Bakap, Cikgu Joohari memerlukan sokongan separuh daripada undi mereka untuk memastikan kemenangan di pihaknya.

Gerak kerja oleh jentera Umno selama tempoh berkempen nampak tersusun khususnya dalam merayu ahli-ahli mereka membantu gabungan parti kerajaan itu.

Tetapi senario sokongan penyokong Umno itu diperangkap oleh kesamaran yang sukar ditafsir, namun tuah Cikgu Joohari siapa yang tahu?

Berdasarkan dapatan dan telahan yang diketengahkan, secara relatif persaingan di antara kedua-dua calon agak seimbang dan kekal sengit.

Sungguhpun begitu, Malaysiakini menjangkakan sekiranya keputusan esok berpihak kepada PN, majoriti yang akan diperolehi oleh Abang Abidin akan melebihi keputusan dalam PRN lepas.

Sebaliknya jika calon PH berjaya merampas kerusi itu, majoritinya akan lebih rendah berbanding yang diperolehi Allahyarham Nor Zamri Latiff pada PRN lalu.