Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Skills Passport: Pengurusan HRD Corp perdaya lembaga pengarah - PAC

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati Human Resource Development Corporation (HRD Corp) telah memperdaya kementerian dan lembaga pengarah berhubung projek Skills Passport.

Selepad mendengar keterangan beberapa ahli lembaga pengarah dan pengurusan, PAC mendapati ada percanggahan berhubung sama ada lembaga pengarah atau kmenterian telah meluluskan projek itu, dan kedua-duanya seperti diperdaya untuk percaya yang kelulusan telah diberikan.

"PAC mendapati terdapat percanggahan tentang apa yang berlaku pada mesyuarat bertarikh 6 Oktober 2022, khususnya mengenai kelulusan untuk memasuki

perjanjian dengan Neomindz Sdn Bhd bagi pelaksanaan projek Skills Passport.

"Timbul persoalan mengapa CEO HRD Corp mendapatkan tandatangan timbalan ketua setiausaha (kementerian) bagi kelulusan perjanjian tersebut walaupun tiada keperluan untuk berbuat demikian. Di samping itu, TKSU juga tiada bidang kuasa untuk memberi sebarang kelulusan bagi perjanjian sebegini.

"PAC juga berpandangan bahawa ahli lembaga pengarah telah diberi gambaran oleh CEO HRD Corp bahawa projek ini telah diluluskan oleh pihak kementerian," kata PAC dalam laporannya yang diterbitkan semalam.

Ia selepas Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Mohd Rodzi dalam laporannya - turut diterbitkan semalam - mengesyorkan agar Kementerian Sumber Manusia merujuk HRD Corp kepada SPRM ekoran audit yang "tidak memuaskan".

Minit mesyuarat berbeza

Walaupun CEO HRD Corp Shahul Hamid Shaik Dawood memberitahu PAC yang lembaga pengarah meluluskan projek itu pada 6 Oktober 2022, seorang ahli lembaga pengarah menafikannya.

Rosli Yaakub, yang mewakili Kementerian Kewangan, berkata Shahul hanya menambah satu slaid berkenaan Skills Passport di akhir pembentangan "taklimat CEO" kepada lembaga pengarah pada tarikh itu.

Bagaimanapun, minit mesyuarat yang dikeluarkan pada 28 Mac 2022 menyatakan lembaga pengarah meluluskan projek itu.

Menurut Rosli, dia kemudian menulis surat kepada semua ahli lembaga pengarah untuk membangkitkan kesilapan itu, namun pada masa itu kementerian telah pun meluluskan projek dan perjanjian telah dimeterai dengan sebuah syarikat swasta.

Rosli Yaakub

"Ia bukannya permohonan kelulusan, tidak. (Tetapi) CEO update saja - laporan CEO sebagai makluman status semasa yang berlaku di HRD Corp...

"Sebenarnya, dia melaporkan kepada lembaga pengarah - CEO update. Tetapi akhir (pembentangan) dia selitkan sekali slaid yang mengatakan yang dia cadangkan projek Skills Passport. Walhal, saya tak terlintas adanya kertas cadangan ini," katanya yang merupakan timbalan setiausaha Bahagian Pengurusan Strategik Badan Berkanun Kementerian Kewangan.

Rosli juga berkata pihak pengurusan menampakkan HRD Corp seperti tiada tanggungjawab kewangan ke atas Neomindz Sdn Bhd, namun hakikatnya, perjanjian mendedahkan HRD Corp terdedah kepada beban kewangan.

PAC mendapati perjanjian itu menyatakan yang HRD Corp perlu membayar Neomindz sebabnyak RM12 kepada setiap pengguna Skills Passport.

Bagaimanapun, Shahul berkata pengguna membuat bayaran sebanyak RM8 kepada vendor, dan HRD Corp mendapat RM2 daripadanya.

Ahli lembaga pengarah lain mengesahkan keterangan Rosli dan berkata perincian hanya dibincang dalam mesyuarat selepas itu, setelah perjanjian ditandatangani.

Mereka memberitahu PAC yang pemangku pengerusi, Rajasekharan Ramasamy pada 28 Mac 2022 bertanya kepada ahli lembaga pengarah jika mereka setuju dengan urus niaga itu, namun perjanjian ditandatangani sebelum itu lagi, iaitu pada 17 Februari 2022.

Ia ditandatangani sehari selepas HRD Corp mendapat "kelulusan" daripada pemangku ketua setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Muhd Khair Razman Mohamed Annuar.

Khair pula memberitahu PAC yang dia menerima surat daripada Shahul berkenaannya pada 16 Februari 2022, dan ditanya menteri pada masa itu, V Sivakumar mengapa kementerian belum memberi kelulusan jika ia sudah diluluskan lembaga pengarah.

Khair berkata tiada keperluan untuk kementerian berbuat demikian jika lembaga pengarah telah memberi lampu hijau, dan dia telah menulis minit pada surat itu yang perkara itu telah dibawa kepada lembaga pengarah dengan kuorum yang cukup.

Tentang projek Skills Passport

Skills Passport adalah pangkalan data dalam talian yang mengumpul semak sijil dan kemahiran individu, agar majikan dapat membuat pengesahan terhadap kelayakan pemohon kerja dengan mudah, selain mencari tenaga kerja di kawasan mereka tinggal.

Menurut Ketua Pegawai Operasi HRD Corp Ariff Farhan Doss, yang mencadangkan projek itu pada April 2022, matlamat mereka adalah untuk membina pangkalan data ini secara 'in-house', namun dia kemudian dimaklumkan yang menteri mahu pihak lain dilibatkan.

Pada masa itu, menteri bertanggungjawab adalah M Saravanan, yang memberitahu Ariff yang "ada individu yang ada kepakaran dalam hal ini dan mereka harus diberi peluang untuk membinanya untuk HRD Corp," katanya kepada PAC.

M Saravanan

Pada mulanya, katanya lagi, sistem itu dicadangkan sebagai perkhidmatan percuma kepada pengguna, namun ketika rundingan dengan penyedia perkhidmatan dibuat, "tiba-tiba diberitahu sudah ada perjanjian" dengan sebuah syarikat di India untuk menyediakan perkhidmatan itu.

Namun, Ariff berkata syarikat itu hanya boleh menyediakan teknologi 'back-end' dan bukannya antara muka (interface) untuk pengguna.

Akhirnya, katanya lagi, khidmad Neomindz diambil namun dia tidak terlibat dalam urus niaga tersebut.

Ia akhirnya dibatalkan oleh menteri semasa, Steven Sim pada Disember 2023 setelah timbulnya kontroversi dan audit dalaman dibuat.

Kontroversi berhubung projek ini bermula selepas surat Rosli kepada lembaga pengarah - di mana dia mempertikaikan minit mesyuarat - tersebar di internet.

Rosli memberitahu PAC yang Sim secara peribadi memberitahunya yang dia membaca surat itu dua kali dan membuat keputusan untuk membatalkan urus niaga itu.

Bagaimanapun, berbeza dengan PAC, kedua-dua audit dalaman dan luar tidak mendapati sebarang kesalahan - sesuatu yang menurut timbalan ketua setiausaha Amran Ahmad sebagai "mencurigakan", memandangkan dia belum berkhidmat di kementerian itu ketika kontrak dimeterai.

"Berdasarkan pembacaan saya, Unit Audit Dalam mengatakan bahawa tidak ada salah laku dan tidak ada penyelewengan yang berlaku di situ. Jadi, itu menimbulkan

kemusykilan, agak musykillah," katanya sambil ketawa ketika memberi keterangan kepada PAC.

Ariff Farhan Doss

Ariff pula berkata walau dia tahu projek itu sedang diaudit, dia tidak dipanggil oleh pihak yang menjalankannya.

Sivakumar pula berkata sesuatu yang mengelirukan apabila ada dakwaaan berkenaan salah laku, di saat projek itu belum dilaksanakan dan audit luar tidak menemukan sebarang kesalahan.

Tentang Neomindz

Pemeriksaan Malaysiakini dengan pangkalan data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 5 Julai mendapati tiada syarikat dengan nama ini.

Namun, laman web carian kerja yang lain membayangkan Neomindz terlibat dalam bidang teknologi kesihatan, pendidikan STEM dan penyelesaian IT, serta bertempat di Mont Kiara, Kuala Lumpur.

Hantaran terakhir syarikat ini di akaun media sosialnya adalah kira-kira setahun lalu.

Namun, dalam keterangannya, Rosli berkata pemeriksaannya di pangkalan data SSM mendapati separuh pegangan syarikat ini dimiliki warga India, Jayamohan Parameswaran Madhusoodhenen Nair, yang membangkitkan soal keselamatan memandangkan aksesnya terhadap data peribadi.

"Jawapan (Shahul) adalah: 'So what? syarikat luar tak boleh dapat kontrak Malaysia?'," kata Rosli kepada PAC.

Rosli juga berkata dia tidak yakin dengan kedudukan kewangans yarikat kerana ia hanya ada simpanan tunai sebanyak RM36,355, manakala menanggung liabiliti RM144,400.

Dia berkata seorang lagi pegangan saham bernama Gobi Ramasamy, warga Malaysia dengan alamat di Ipoh, Perak.

Apabila surat Rosli kepada lembaga pengarah tular, HRD Corp mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyiarkannya, dan mendakwa kandungannya dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Kempen jahat terhadap HRD Corp

Shahul - CEO HRD Corp - mempertahankan program itu dan berkata ada kempen "jahat" terhadap Skills Passport.

"...Ada usaha jahat untuk menjatuhkan jenama HRD Corp," katanya kepada PAC.

Shahul Hamid Shaik Dawood

Menurutnya, program itu telah dilaksanakan dengan berjaya di India dan Australia, dan boleh juga berjaya di Malaysia.

Dia juga menegaskan HRD Corp tidak menanggung sebarang kos dan akan meraih RM2 daripada RM8 yang dibayar pengguna Skills Passport kepada vendor.

Shahul juga menuduh Rosli membuat sabotaj, termasuk membocorkan maklumat kepada media, dan mencadangkan agar kerajaan menyingkirkannya daripada lembaga pengarah.

"Laporan audit tunjuk HRD Corp ada rekod bersih. Kami ikut semua proses, tiada isu. Satu perkara, kami juga ambil pihak ketiga untuk audit kami, untuk pastikan tangan kami tak kotor dan melalui keseluruhan proses pemerolehan yang betul.

"Namun, kerosakan telah menyebabkan banyak perkara. Jadi, apabila kami ada peluang, kami tak mahu ada ahli lembaga pengarah yang ada isu integriti, tadbir urus, membocor maklumat kepada rang awam, untuk duduk dalam lembaga pengarah HRD Corp, kerana kami bincang bannyak perkara sulit dengan lembaga pengarah," kata Shahul dalam keterangannya lagi.