Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Keputusan PRK Sg Bakap akan jadi petunjuk Anwar kembali ke Permatang Pauh

PRK SG BAKAP | Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap akan menjadi petunjuk kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sama ada akan kembali bertanding di kerusi parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya umum (PRU) akan datang atau sebaliknya.

Pengerusi Institut Darul Ehsan (Ide), Mohammad Redzuan Othman berkata, hal ini menarik minat pemerhati kerana terdapat desas-desus Anwar akan kembali bertanding di kawasan yang pernah menjadi kerusi tradisinya itu.

"Ia (Sungai Bakap) merupakan satu kawasan yang berdekatan dengan satu lagi kawasan parlimen yang penting iaitu Permatang Pauh.

"Itu antara perkara menjadi minat kerana terdapat desas-desus bahawa selepas ini kawasan yang akan menjadi tumpuan untuk perdana menteri bertanding adalah Permatang Pauh.

"Sudah tentu keputusan PRK ini ada impak sama ada dia kembali ke Permatang Pauh atau ke kawasan-kawasan lain," katanya pada sidang media analisis Survei Landskap Persepsi Rakyat Menjelang PRK DUN Sg Bakap di Shah Alam hari ini.

Ide merupakan badan pemikir milik kerajaan negeri Selangor yang diterajui oleh PH.

Untuk rekod, Anwar yang kini merupakan ahli parlimen Tambun, memulakan karier politik bersama Umno setelah bertanding di Permatang Pauh pada tahun 1982 dan mempertahankan kerusinya itu sehingga dipecat daripada parti itu pada 3 Sep 1998.

Selepas itu, isterinya Dr Wan AzizaH Wan Ismail mengambil alih kerusi tersebut pada 1999 sehingga 2008 sebelum meletak jawatan untuk memberi ruang kepada Anwar bertanding pada PRK di kawasan itu pada Ogos 2008.

Seterusnya Anwar mengekalkan kerusinya pada PRU 2013 sebelum hilang jawatannya sekali lagi setelah disabitkan bersalah dalam kes liwat II pada 2015.

Wan Azizah kemudian sekali lagi mengambil alih kerusi tersebut dan menang dalam PRK yang diadakan pada 7 Mei 2015.

Bagaimanapun pada PRU 2018, anak mereka, Nurul Izzah gagal mempertahankan kerusi berkenaan apabila tewas mengejut kepada Calon PN, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.

Sebelum ini terdapat desas-desus Anwar mungkin kembali bertanding di Permatang Pauh pada PRU akan datang sebagai usaha mengembalikan kekuatan PH di kerusi tersebut.

Sementara itu, Mohammad Redzuan berkata sokongan pemilih Sg Bakap kepada Anwar berada di tahap memuaskan.

"Sokongan kepada Anwar salah satu faktor gabungan PH/BN ada kelebihan dalam PRK ini.

"Lebih 57 peratus pengundi bersetuju Anwar sebagai pemimpin yang memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

“Sementara sebanyak 64.4 peratus berkata Anwar seorang pemimpin dikenali di peringkat antarabangsa.

"Manakala 57.8 peratus percaya Anwar seorang pemimpin yang mampu menyatupadukan kepelbagaian kaum di Malaysia," katanya.

Katanya, isu subsidi diesel tidak begitu ketara di Sg Bakap.

Sebaliknya, pengundi cuma mempunyai sedikit bimbang kenaikan harga barangan ekoran penguatkuasaan subsidi diesel bersasar pada bulan lepas.