Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

KDN rampas lebih RM1 juta penerbitan jelik, termasuk mainan seks

Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 19,924 pelbagai jenis hasil penerbitan jelik termasuk alat permainan seks bernilai RM1.2 juta.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) KDN, Nik Yusaimi Yusoff, berkata rampasan yang dibuat melalui operasi bermula 1 Jun itu dilakukan Bahagian PKK menerusi Ops Cetak 1.0 hasil pemantauan dua minggu.

“Dalam tempoh Ops Cetak ini, pemeriksaan telah dilakukan ke atas sejumlah 1,759 buah premis dan sebanyak 119 kertas siasatan telah dibuka yang melibatkan sejumlah 19,924 pelbagai jenis hasil penerbitan disita dengan nilai keseluruhan dianggarkan hampir RM1.2 juta.

“Seramai 50 orang warganegara (47 lelaki, 3 wanita) dan seorang lelaki bukan warganegara telah ditahan untuk siasatan lanjut yang berumur dalam lingkungan 20-an hingga 90-an di serata negeri,” katanya pada sidang media bahagian penguatkuasaan dan kawalan KDN di Putrajaya, hari ini.

Menurut Nik Yusaimi, tindakan terbabit berdasarkan peruntukan bawah Seksyen 3(4) dan 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 berkaitan kesalahan mengguna mesin cetak tanpa lesen sah dan pemilikan atau penjualan hasil penerbitan tidak diingini.

“Secara keseluruhan, Ops Cetak ini telah melibatkan sitaan pelbagai jenis bahan penerbitan yang melanggar peruntukan undang-undang seperti buku, majalah, pakaian, aksesori, alat permainan dan mesin cetak.

“Kesemua hasil bahan penerbitan ini didapati bertentangan dengan nilai moral, sosial budaya masyarakat di negara ini sebagaimana yang dinyatakan dalam Seksyen 7(1) AMCP 1984,” katanya.

Katanya, aktiviti penjualan dan pengedaran tersebut dikesan semakin meningkat dalam talian dan dijual secara terbuka di premis-premis perniagaan.

“Sementara itu, alat mainan seks adalah merupakan bentuk penerbitan yang dilarang di negara ini kerana ianya berlawanan dengan nilai dan budaya masyarakat di Malaysia.

“Pihak KDN telah membuat sitaan terhadap alat mainan seks ini dibeberapa buah negeri seperti di Pulau Pinang, Selangor, Johor dan Kedah,” katanya.

Yusaimi berkata alat mainan seks itu dipercayai diimport dari China dan Jepun 

"Untuk kes itu, seramai tujuh orang warganegara telah ditahan.

"Alat seks itu dikhuatiri boleh membawa pengaruh negatif dan memberi kesan kepada psikologi dan memudaratkan kemoralan generasi akan datang," katanya.

Yusaimi berkata KDN juga telah mengambil tindakan terhadap tiga premis mencetak haram di sekitar Seri Kembangan dan Klang.

Tambahnya, nilai anggaran mesin cetak tidak berkesan yang disita adalah sebanyak RM600,000 dan tiga warganegara ditahan.

Nik Yusaimi memaklumkan jika disabitkan kesalahan, pihak atau individu yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara selama tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.