Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Lebih 100 berkumpul tuntut kelonggaran Akaun 1 KWSP dipindah ke Akaun Fleksibel

Lebih 100 orang berhimpun di jalan utama menuju bangunan parlimen pagi ini bagi menuntut kerajaan memberi kelonggaran pengeluaran wang daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Perhimpunan anjuran Gerakan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) itu menyaksikan peserta berkumpul dengan membawa sepanduk dan menyerahkan memorandum kepada ahli parlimen pembangkang.

Setiausaha Agung PGIRM, Putri Fira Afandi ketika ditemui berkata, pihaknya menggesa kerajaan membenarkan pengeluaran caruman daripada Akaun Persaraan (Akaun 1) ke Akaun Fleksibel (Akaun 3) bagi mereka yang tidak mempunyai baki mencukupi dalam Akaun Sejahtera (Akaun 2).

“Kami berada di sini untuk desakan dan gesaan bagi menuntut hak sama rata kepada pencarum tercicir yang mempunyai baki kurang RM20,000 dan yang tidak lagi mempunyai baki diberikan kelonggaran pengeluaran dari Akaun 1 terus ke akaun bank pencarum atau dipindahkan ke dalam Akaun Fleksibel (Akaun 3) dengan kadar segera,” katanya.

Memorandum yang ditandatangani PGIRM, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) serta Global Human Rights Federation (GHRF) tersebut diserahkan kepada beberapa Ahli Parlimen Pembangkang.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man yang hadir menerima memorandum tersebut berkata, pihaknya berharap isu itu dapat dipertimbangkan kerajaan secepat mungkin.

"Kerajaan sepatutnya mempertimbangkan pandangan mereka supaya caruman KWSP dapat dimanfaatkan pada waktu terdesak,” katanya.

Sebelum ini KWSP mengumumkan ahli diberi pilihan untuk memindahkan satu pertiga daripada baki simpanan mereka daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel bermula 12 Mei hingga 31 Ogos tahun ini.

Pemindahan amaun awal ke Akaun Fleksibel adalah tertakluk kepada baki dalam Akaun Sejahtera ahli pada tarikh permohonan dibuat.

Manakala Pengeluaran dari Akaun Fleksibel boleh dibuat pada bila-bila masa untuk sebarang tujuan dengan pengeluaran minimum RM50.

Sementara itu Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim berkata kerajaan perlu mempertimbangkan utnuk memberi kelonggaran pengeluaran sekurang-kurangnya sehingga 30 peratus jumlah caruman daripada Akaun 1.

“Pencarum menuntut hanya 10 peratus hingga 30 peratus sahaja dipindahkan dari Akaun 1 ke Akaun Fleksibel.

“Atau kerajaan meneliti tuntutan ini supaya kelonggaran ini diberi secara bersasar atau berfokus kepada kumpulan-kumpulan yang memerlukan,” jelasnya.

Sementara itu Ahli Parlimen Padang Terap Nurul Amin pula berkata tuntutan itu akan dibahaskan sekali lagi di parlimen.

Katanya, tuntutan tersebut telah dibuat hampir dua tahun namun hingga kini pihak kerajaan masih belum memberi sebarang maklum balas.

“Minggu lepas saya dah bahaskan di parlimen. Saya minta pihak KWSP dan Perkeso membincangkan bagaimana nak buat skim pengeluaran.

“Jadi ini (hari ini) kita akan ulang semula,” jelasnya.

Perhimpunan yang bermula pada jam 9 pagi itu berakhir kira-kira sejam setengah kemudian.