Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Azizi minta PH, BN beri laluan jika Parlimen Gua Musang dikosongkan

PARLIMEN | Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim meminta PH dan BN agar memberi laluan kepadanya untuk mempertahankan kerusi tersebut jika ia diisytihar kosong nanti.

Pada masa sama, Azizi yang juga bekas Adun Nenggiri berkata dia telah memberi laluan kepada dua gabungan itu untuk bertanding di kerusi itu yang telah diisytihar kosong oleh Yang di-Pertua DUN Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah.

"Saya akan minta kepada kepimpinan parti (PH-BN) untuk beri peluang kepada saya bertanding.

"Saya bertanding atas tiket PN sebelum ini, Parlimen Gua Musang bukan Parlimen yang disasarkan (PN). Dua tahun (sebelum PRU lalu) kita struggle, saya telah buat kerja," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Mohd Azizi antara tujuh wakil rakyat PN yang sebelum ini menukar sokongan kepada kerajaan persekutuan dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pada 19 Jun lepas, Mohd Amar mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong, susulan notis yang dihantar Bersatu mengenai keahlian Mohd Azizi yang tergugur dari parti berkenaan.

Pada 24 Jun lepas pula, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul mengesahkan telah menerima notis mengenai kekosongan kerusi enam ahli Parlimen Bersatu yang tergugur keahlian mereka, dan akan memaklumkan keputusannya dalam tempoh 21 hari.

Azizi berkata dia telah menghantar surat penjelasan mengenai kedudukannya dalam Bersatu kepada Johari pada 27 Jun lalu, dan yakin Johari akan membuat keputusan terbaik mengenai perkara itu.

Ditanya mengenai harapannya agar kerusi Parlimen Gua Musang tidak dikosongkan seperti DUN Nenggiri, Mohd Azizi berkata dia berserah kepada Allah.

"Pada saya tawakal, serah kepada Allah, serah kepada qada dan qadar. Saya yakin yang di-pertua Dewan Rakyat akan buat keputusan berlandaskan Perlembagaan," katanya lagi.