Umno letak calon untuk PRK Nenggiri
Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan parti itu akan meletakkan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri, Kelantan yang dijadualkan pada 17 Ogos ini.
Presiden Umno itu turut memaklumkan Umno sudah melantik Tengku Razaleigh Hamzah sebagai ketua bagi PRK itu, manakala Ahmad Jazlan Yaakub sebagai ketua operasi.
Ahmad Jazlan merupakan Pengerusi Umno Kelantan dan Pengerusi Felcra, manakala Tengku Razaleigh adalah bekas ahli parlimen Gua Musang.
"Hari ini, depan wartawan yang ada dalam dewan ini, saya nak umumkan bahawa Umno akan meletakkan calon untuk pilihan raya kecil Nenggiri.
"Lepas ini kita (Umno) akan ke sana untuk memastikan calon kita menang dan kita juga sudah melantik Tengku Razaleigh sebagai ketua pilihan raya kecil itu bersama Jazlan Yaakub sebagai ketua operasi.
"Kombinasi ini akan dapat memastikan kemenangan dalam PRK itu nanti," katanya berucap merasmikan mesyuarat Umno Lipis di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di Lipis, hari ini
Pengumuman Ahmad Zahid itu menyaksikan cadangan PH Gua Musang mahu meletakkan calon mereka di situ mungkin tidak kesampaian.
Pengerusi PH Gua Musang, Asharun Uji, pada 25 Jun lalu dilaporkan berkata calon mereka wajar diberi peluang bertanding Nenggiri kerana mempunyai senarai individu setempat yang layak diangkat sebagai calon.
"Ini sekadar cadangan, lagipun BN yang merupakan rakan gabungan PH sudah bertanding pada PRN ke-15 lalu.
"Namun tidak salah jika kami diberikan peluang," katanya.
Bagaimanapun Asharun menegaskan keputusan akhir tetap terletak pada pertimbangan pucuk pimpinan tertinggi parti di peringkat pusat dan negeri.
PRK Nenggiri diadakan selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu mengumumkan kerusi itu kosong ekoran notis Bersatu mengenai keahlian Mohd Azizi Abu Naim, yang tergugur dari parti berkenaan.
Susulan itu, Mohd Azizi memfailkan injunksi sementara untuk menghentikan PRK berkenaan daripada diadakan sehingga saman pemulanya diputuskan.
Bagaimanapun, injunksi itu ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengadakan mesyuarat semalam mengumumkan PRK Nenggiri ditetapkan pada 17 Ogos.
Sementara itu, dalam ucapannya, Ahmad Zahid mengingatkan Umno Pahang untuk terus berhati-hati dengan 'ancaman' gabungan PN yang merancang untuk merampas negeri dalam PRU akan datang.
"Dalam PRU lalu, mereka dah ada 17 dan kita harus berterima kasih kepada rakan kita daripada PH yang sanggup bekerjasama dan membentuk kerajaan negeri.
"Sekarang mereka (PN) sudah menjadi kerajaan di empat negeri dan seterusnya saya yakin mereka menyasarkan untuk menguasai Pahang selepas ini.
"Jadi saya ingatkan Umno Pahang supaya jangan rasa selesa, terus bekerja kuat dan jangan benarkan Pahang ini jatuh ke tangan mereka," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai